Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:28pm
JURULATIH beregu pelapis negara, Cheah Soon Kit. - Foto Osman Adnan

Soon Kit pertahan pemilihan beregu

KUALA LUMPUR: Biarpun wujud kebimbangan, jurulatih beregu lelaki negara Cheah Soon Kit mengakui barisan pemain yang dinamakan bagi pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, bermula 20 Mei ini tetap yang terbaik.

Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan senarai akhir 10 pemain bagi skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara.

Ia tampak seperti satu perjudian berani, apabila beregu muda Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan bekas pemain perseorangan Arif Latif yang tidak pernah beraksi dalam acara begeru pada kejohanan besar disenaraikan.

Ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini, Soon Kit, berkata: "Ia bukannya keputusan yang senang, tapi kami (jurulatih beregu lelaki) sudah berbincang panjang mengenainya.

"Kami melihat dari sudut kebaikan dan keburukan, termasuk komitmen pemain. Selepas mempertimbangkan semuanya kami berasakan ini adalah pilihan terbaik.

"Bagi Aaron dan Wooi Yik, sudah tentu timbul kebimbangan bagaimana mereka boleh menangani tekanan, tapi kami masih mempunyai beberapa minggu, jadi kami akan berusaha keras untuknya."

Bercakap mengenai keputusan memecahkan beregu nombor dua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas bertindak menggugur Yew Sin dan membawa masuk Arif, Soon Kit berkata: "Ini lebih kepada taktikal. Jurulatih Paulus (Firman) menilai dan mencadangkan Arif."

Soon Kit yang juga pemenang Piala Thomas 1992, bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai perancangan kombinasi pemain.

"Saya fikir lebih baik tunggu dan lihat. Tiada apa yang mahu dibicarakan saya ketika ini," jelas Soon Kit.

Satu lagi pasangan beregu dalam skuad Piala Thomas kali ini adalah pemenang pingat perak Sukan olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Berita Harian X