Selasa, 8 Mei 2018 | 7:03pm
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Foto Eizairi Shamsudin
SOON Huat-Shevon yang juga pilihan utama pula mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan gandingan New Zealand-Kanada, Niccolo Tagle-Brittney Tam 21-13, 21-10. - Foto Eizairi Shamsudin

Terbuka Australia: Pasangan negara mudah benam lawan

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka dua beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan pusingan pertama Terbuka Australia selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang terlebih dulu turun ke gelanggang menyingkirkan Maika Phillips-Anona Pak dari New Zealand 21-18, 21-12.

Soon Huat-Shevon yang juga pilihan utama pula mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan gandingan New Zealand-Kanada, Niccolo Tagle-Brittney Tam 21-13, 21-10.

Walaupun mendapat laluan mudah, jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui menegaskan anak buahnya perlu meningkatkan permainan.

"Gandingan lawan tidak terlalu kuat dan pasangan kita masih mencari rentak serta cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran gelanggang. Namun, saya lihat permainan Peng Soon-Liu Ying sedikit perlahan setakat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, Peng Soon-Liu Ying diharap mampu memperbaiki prestasi mereka berbanding ketika terkandas di suku akhir Terbuka New Zealand, minggu lalu. 

"Saya berharap mereka mampu mara hingga separuh akhir walaupun esok bakal berdepan lawan yang sukar," kata Eei Hui. 

Menanti Peng Soon-Liu Ying di pusingan kedua esok ialah pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Debby Susanto yang sebelum itu menumpaskan Ou Xuanyi-Cao Tong Wei dari China, 13-21, 21-14, 21-11.

Soon Huat-Shevon pula masih menanti pemenang di antara satu lagi pasangan negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang bakal berdepan Min Hyuk Kang-Ha Na Baek dari Korea Selatan pada pusingan pertama esok.

Berita Harian X