Khamis, 24 Mei 2018 | 6:32pm
BEKAS pemain kebangsaan Jalani Sidek tidak berpuas hati dengan skuad lelaki negara yang tewas kepada Denmark, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Bukan medan eksperimen - Jalani

BANGKOK: Bekas pemain kebangsaan Jalani Sidek menegaskan kejohanan seperti Piala Thomas tidak sewajarnya menjadi medan ujian BAM dan jurulatih mereka.

Jalani, pemenang Piala Thomas pada 1992 tidak berpuas hati dengan skuad lelaki negara yang tewas 2-3 kepada juara bertahan Denmark pada aksi terakhir Kumpulan D semalam.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Denmark,  Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia menyumbang dua mata hasil kemenangan masing-masing ke atas pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dan Hans-Kristian Solberg Vittinghus, manakala gandingan perak Sukan Olimpik Rio 2016  Goh V Shem-Tan Wee Kiong, beregu bidan terjun Aaron Chia-Teo Ee Yi dan perseorangan ketiga Iskandar Zulkarnain Zainuddin tumpas.

"Malaysia tidak boleh berharap kepada tuah dan elemen kejutan semata-mata. Kita perlu yakin dengan apa yang kita lakukan," kata Jalani.

"Bagi saya, pemain beregu wajar menyumbang mata. Hanya mereka yang boleh kita harapkan untuk kemenangan. Jika anda tanya saya, V Shem-Wee Kiong patut menewaskan pasangan Denmark (Mads Pieler Kolding-Mads Conrad Petersen). Mereka adalah beregu nombor satu Denmark.

"Apa yang menjengkelkan saya adalah pemain ini langsung tidak menunjukkan kekecewaan mereka apabila mereka tewas. Mereka perlu bertanggungjawab, kerana jika mereka kalah, seluruh Malaysia kalah," kata Jalani.

Jalani menambah ketua jurulatih juga perlu tegas ketika membuat keputusan.

"Sesetengah ketua jurulatih suka menyalahkan orang lain apabila berlaku sesuatu yang tidak memihak mereka. Apa yang sebenarnya berlaku?

"Sebagai ketua jurulatih, anda perlu tegas membuat keputusan. Secara peribadi, jurulatih tidak boleh menggunakan kejohanan seperti Piala Thomas sebagai medan ujian.

"Pemain perlu bersedia sebelum kejohanan. Apa yang penting adalah keputusan."

Tidak kira apa saja keputusan perlawanan suku akhir menentang Indonesia (malam ini), Jalani menggesa badan induk itu mengkaji struktur mereka atau Malaysia akan mengambil masa lebih lama untuk kembali ke puncak.

Berita Harian X