Jumaat, 1 Jun 2018 | 4:45pm
PEMAIN badminton negara Datuk Wira Lee Chong Wei . - Foto Mikail Ong

Chong Wei beri bayangan pemain kena gugur

 

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan beberapa pemain perseorangan lelaki negara seperti Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi kemungkinan besar digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Pemain berusia 36  tahun itu mengaku pemain berkenaan gagal menunjukkan peningkatan biarpun sudah banyak peluang diberikan.

"BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sudah memberi mereka banyak peluang, tetapi masih tidak menunjukkan peningkatan. Mereka bukan pemain yang berusia 16 hingga 20 tahun, sebaliknya sudah 23 tahun dan ke atas.

"Bagi saya, pemain berusia seperti itu sepatutnya sudah tahu apa yang mereka perlu capai. Mereka sudah diberikan kemudahan terbaik dan semuanya tetapi masih gagal untuk menang. Saya tidak pasti sama ada mereka ada masalah dari aspek mental.

"Apa yang saya tahu, BAM akan menggugurkan beberapa pemain, jadi kita lihat apa yang jurulatih akan putuskan," kata Chong Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

  Minggu lalu, Chong Wei membuktikan dia masih pemain nombor satu Malaysia apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand termasuk menewaskan juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Diminta mengulas mengenai pemain masa depan dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei berkata: "Saya fikir pemain seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao memiliki kriteria yang diperlukan untuk menjadi bintang masa depan tetapi mereka perlu bekerja keras.

  "Badminton adalah sukan yang memerlukan kemahiran tinggi dan saya dapat lihat faktor itu dalam diri Zii Jia dan Jun Hao. Zii Jia mempunyai kelebihan dari aspek fizikal manakala Jun Hao pula corak permainan agresifnya di gelanggang.

"Bagaimanapun, tanpa kerja keras, bakat kamu tidak mempunyai apa-apa makna. Jika dibandingkan saya dengan mereka, mereka bertuah kerana dapat menyertai skuad kebangsaan beraksi dalam Piala Thomas pada usia yang muda.

  "Ketika saya berusia 19 tahun, saya tidak mempunyai peluang untuk bermain tetapi saya duduk di belakang menyaksikan rakan sepasukan beraksi di gelanggang dan memasang impian suatu hari nanti saya juga boleh menjadi seperti mereka.

  "Sejak itu semangat saya berkobar-kobar. Saya harap pemain seperti Zii Jia, Jun Hao dan pemain muda lain dapat mempelajari sesuatu mengenai apa yang mereka lihat sepanjang saingan Piala Thomas.

  "Pemain seperti Axelsen, Kento Momota (Japan), Kenta Nishimoto (Japan), Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia) dan Jonatan Christie (Indonesia) adalah pemain muda yang sudah menjadi antara terbaik dunia. Pemain kita perlu menerima hakikat betapa pemain berkenaan adalah musuh mereka," katanya.

91 dibaca
Berita Harian X