Jumaat, 8 Jun 2018 | 5:59pm
KUALA LUMPUR 24 NOVEMBER 2017. Temuramah khas bersama Ketua Jurulatih Badminton Perseorangan Negara, Datuk Misbun Sidek di Akademik Badminton Malaysia. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Sentuhan Misbun mula berhasil

KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki, sentuhan Datuk Misbun Sidek mula menampakkan impak positif dalam usaha mencari pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.

Bekas Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh, berkata Malaysia kini dilihat memiliki tiga pemain yang berpotensi yang boleh dijadikan sandaran sekali gus menggantikan tempat Chong Wei iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Tan Jia Wei.

"Sebenarnya masih terlalu awal untuk buat penilaian tetapi kita sudah boleh nampak hasilnya sejak Misbun dilantik menjadi ketua jurulatih.

"Kita boleh lihat peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain-pemain itu dan ini membuktikan kita mempunyai pemain yang boleh diharapkan untuk masa depan," kata Kenny ketika dihubungi, hari ini.

Misbun kembali memulakan tugas bersama BAM pada Julai tahun lalu selepas meninggalkan badan induk berkenaan pada penghujung 2010, kerana didakwa tidak sebulu dengan pengurusan.

Kini, selepas hampir setahun kembali, Zii Jia, Jun Hao dan Jia Wei masing-masing menunjukkan peningkatan yang positif.

Malah, Zii Jia dan Jun Hao disenaraikan ke dalam skuad negara pada saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, dua minggu lalu.

Sebagai rekod, Misbun adalah watak penting ketika membantu Chong Wei meraih pingat perak Olimpik pertamanya pada 2008 di Beijing, China.

Kenny yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, turut menyuarakan pandangannya Misbun selaku ketua jurulatih perlu merangka program berbeza dengan membahagikan pemainnya kepada kelompok elit dan pelapis.

"Skuad elit tidak perlu ramai pemain, cukup empat hingga enam pemain saja. Skuad pelapis pula lebih kurang 10 hingga 12 pemain.

"Peranan skuad pelapis adalah memberikan tekanan kepada skuad elit. Jika pemain elit tidak berada pada tahap sebenar, pemain pelapis boleh mengambil alih tempatnya.

"Apa pun, Misbun juga perlu mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang," kata Kenny.

30 dibaca
Berita Harian X