Khamis, 21 Jun 2018 | 9:59pm
KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock berkatakan sesuatu kepada pemainnya Lee Ying Ying pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok . - Foto Mohd Yusni Ariffin
KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock berkatakan sesuatu kepada pemainnya Lee Ying Ying pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Seu Bock tagih aksi konsisten

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara berdepan halangan sukar menjelang Terbuka Malaysia yang berlangsung di Arena Axiata minggu depan. 

 Berdasarkan undian, tiga pemain negara, Soniia Cheah, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying sukar untuk melepasi pusingan kedua.

 Menurut ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock, walaupun sedar anak buahnya berdepan kesukaran namun itu adalah peluang terbaik untuk mereka menunjukkan permainan konsisten.

 "Pertama sekali kita perlu sedar bahawa pemain tidak boleh berada di puncak sepanjang masa. Apa yang paling penting ialah konsisten.

 "Bagi saya, kesemua pemain ini sudah memberikan segalanya ketika Piala Uber di Bangkok bulan lalu dan saya berpuas hati dengan persembahan mereka.

 "Apa yang mahu saya lihat sekarang, adakah mereka boleh mengekalkan prestasi. Sasaran jangka panjang ialah konsisten. Adakah mereka mampu mengekalkannya pada tahap permainan lebih tinggi.

 "Secara jujur Terbuka Malaysia adalah kejohanan utama. Ia sentiasa sukar, jadi tidak ada gunanya kita meletak sasaran kurang realistik. Saya gembira dengan cara mereka bermain di Bangkok," kata Seu Bock ketika dihubungi hari ini.

 Antara pemain negara yang mendapat laluan sukar ialah Soniia yang berdepan pemain nombor satu dunia dan penyandang juara dari Taiwan, Tai Tzu Ying.

 Jin Wei pula akan berdepan pemain nombor 23 dunia dari Taiwan, Pai Yu Po di pusingan pertama namun menantinya di pusingan kedua ialah Sung Ji Hyun dari Korea Selatan (nombor sembilan dunia).

 Ying Ying juga akan berdepan wakil Taiwan di pusingan pertama jika menang dan menantinya di pusingan kedua ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, PV Sindhu (India).

Berita Harian X