Selasa, 26 Jun 2018 | 8:00am
Serena Williams. - Foto AFP

Serena mahu takluk Wimbledon lagi

LONDON: Semua tumpuan bakal terarah kepada Serena Williams apabila Wimbledon menyingkap tirainya minggu depan apatah lagi bekas juara tujuh kali itu mahu kembali memenangi gelaran Grand Slam pertamanya sejak bergelar ibu.

Penguasaan dua tahun Serena di Wimbledon berakhir 12 bulan lalu apabila dia tidak beraksi di kejohanan yang dilangsungkan di gelanggang rumput itu kerana melahirkan anak pertamanya.

Di sepanjang ketiadaan bintang Amerika Syarikat berkenaan, pemain Sepanyol, Garbine Muguruza muncul juara Wimbledon buat kali pertama selepas mengalahkan kakak Serena, Venus di final.

Jika berjaya memenangi Wimbledon buat kali kelapan di sepanjang 18 penampilan - sempena ulang tahun ke-150 kejohanan berkenaan - pasti menjadi satu lagi kejayaan membanggakan buat Serena di Gelanggang Tengah yang selama ini dianggap sebagai 'rumah keduanya'.

Tetapi Serena tidak terlalu kerap beraksi sejak bergelar ibu gara-gara masalah yang dihadapi ketika melahirkan anak perempuannya, Alexis Olympia.

Pemain berusia 36 tahun itu ditewaskan Venus di Indian Wells, Mac lalu dan tersingkir di seawal pusingan pertama di tangan Naomi Osaka di Miami.

Serena beraksi di kejohanan Grand Slam pertamanya dalam tempoh setahun di Terbuka Perancis bulan lalu dan melangkah ke pusingan keempat sebelum kecederaan bahu memaksanya menarik diri sebelum bertemu seteru tradisi, Maria Sharapova.

Tidak bertanding di mana-mana kejohanan sejak itu, penampilan Serena di Wimbledon masih lagi menjadi bualan kerana ramai yang berpendapat dia seharusnya diberi tempat selaku pemain pilihan.

Serena kini menduduki tangga ke-183 tetapi dia adalah bekas pemain nombor satu dan kali terakhir menjulang Grand Slam ialah ketika memenangi Terbuka Australia 2017.

Dengan rekod 23 kejohanan utama yang dipegangnya, ramai percaya Serena berhak mendapat keistimewaan sebagai pemain pilihan di kejohanan utama.

Bagaimanapun, penganjur Terbuka Perancis tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Serena tetap layak ke Wimbledon tetapi jawatankuasa pertandingan akan membuat keputusan minggu ini sama ada dia berhak disenaraikan ke dalam kelompok 32 pemain pilihan atau tidak. - AFP

Berita Harian X