Rabu, 27 Jun 2018 | 4:50pm
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing ketika menentang pemain China, Zhang Nan dan Li Yinhui pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

Eei Hui kecewa prestasi beregu campuran

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton beregu campuran, Chin Eei Hui tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya susulan prestasi buruk semua tiga pasangan negara pada saingan Terbuka Malaysia.

Semalam, beregu campuran nombor satu negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ditujukkan jalan keluar pada pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

"Mereka beraksi dengan buruk terutama Kian Meng-Pei Jing dan Peng Soon-Liu Ying. Kian Meng-Pei Jing sehingga kini masih bergelut dan ia membimbangkan kerana ketika sesi latihan, mereka menunjukkan komitmen yang baik.

"Hanya apabila beraksi dalam kejohanan mereka bergelut untuk mengekalkan konsistensi.

"Untuk Peng Soon-Liu Ying mereka terlalu meletak harapan tinggi kepada diri sendiri. Meman mereka menjuarai Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu, tetapi di sini sangat berbeza.

"Ia tidak seharusnya menjadi alasan buat mereka kerana sebagai pasangan berpengalaman, mereka sepatutnya tahu bagaimana mahu mengawal situasi seperti ini.

"Masalah memang timbul dan kami perlu melakukan penilaian semula untuk membetulkannya," kata Eei Hui.

Pada aksi pembukaan semalam, Kian Meng-Pei Jing tewas di tangan pasangan China, Zhang Nan-Li Yinhui 8-21, 12-21.

Peng Soon-Liu Ying pula tunduk kepada Wang Chi Lin-Lee Chia Hsin dari Taiwan 22-24, 9-21.

Pilihan ketujuh, Soon Huat-Shevon yang memenangi set pertama gagal mengekalkan momentum apabila tewas 21-18, 15-21, 14-21 di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Dalam pada itu, Eei Hui mengesahkan ketiga-tiga pasangan itu akan berangkat ke Jakarta bagi menyertai Terbuka Indonesia yang bermula 3 hingga 8 Julai ini.

25 dibaca
Berita Harian X