Ahad, 8 Julai 2018 | 2:20pm
LEE Chong Wei. - Foto NSTP

Chong Wei mahu berehat

 

KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi dua kejohanan kompetitif berturut-turut dalam tempoh dua minggu - Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia - Datuk Lee Chong Wei mahu berehat seketika sebelum kembali menjalani latihan bagi persiapan menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia 2018.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu, berkata dengan usianya yang bakal menjangkau 36 tahun Oktober depan, dia perlu mendapat rehat secukupnya untuk kekal berada pada tahap prestasi terbaik.

"Saya berpuas hati dengan prestasi saya untuk Terbuka Malaysia yang mana saya berjaya merangkul gelaran ke-12 dan mara sehingga separuh akhir Terbuka Indonesia. Pencapaian ini bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai apatah lagi usia saya semakin meningkat.

"Selepas ini saya mahu berehat beberapa hari sebelum kembali menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia. Saya harap saya boleh menghasilkan keputusan yang baik dalam dua kejohanan itu," kata Chong Wei.

Kejohanan Dunia akan berlangsung di Nanjing, China bermula 30 Julai hingga 5 Ogos manakala Sukan Asia di Jakarta, Indonesia membuka tirai saingan 18 Ogos hingga 2 September.

Semalam, Chong Wei terpaksa akur apabila dia gagal dalam misi merekodkan gelaran ketujuh Terbuka Indonesia selepas tewas kepada bintang muda Jepun, Kento Momota 21-23, 12-21 dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan.

Ia adalah pertembungan kedua berturut-turut buat kedua-dua pemain itu dalam tempoh enam hari sejak aksi final Terbuka Malaysia, Ahad lalu yang menyaksikan Chong Wei mencatat kemenangan sekali gus merangkul gelaran ke-12.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, berkata kekalahan anak didiknya di tangan Momota, semalam adalah disebabkan kekuatan dan kepantasan yang dimiliki lawan.

"Kalau tengok perlawanan hari ini (semalam), Momota nyata lebih kuat dan laju memandangkan usianya masih muda berbanding Chong Wei. Namun, Chong Wei juga wajar diberikan pujian kerana tetap berjuang sehingga tamat perlawanan.

"Kami akan memberi Chong Wei rehat selama seminggu untuk dia kembali menyegarkan mental dan fizikalnya. Selepas itu kita akan sambung persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia, dua kejohanan yang penting Chong Wei tahun ini dan diharapkan dia akan mendapat keputusan yang baik nanti," kata Hendrawan.

 

Berita Harian X