Ahad, 8 Julai 2018 | 8:33pm
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terus gagal menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir apabila tewas pada aksi final Terbuka Indonesia. - Foto EPA
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terus gagal menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir apabila tewas pada aksi final Terbuka Indonesia. - Foto EPA

Peng Soon-Liu Ying tewas final Terbuka Indonesia

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terus gagal menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir apabila mereka tewas pada aksi final Terbuka Indonesia, sebentar tadi. 

Pertembungan diibaratkan sebagai aksi ulangan final Olimpik Rio 2016 itu jelas menyaksikan penguasaan beregu campuran nombor tiga dunia, Tontowi-Liliyana yang turut mendapat sokongan padu penyokong di Istora Senayan dengan mereka mencatat kemenangan 21-17, 21-8 sekali gus mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu. 

Ini adalah kekalahan ke-10 Peng Soon-Liu Ying di tangan Tontowi-Liliyana selepas mereka tewas dalam sembilan daripada 10 pertemuan sebelum ini termasuk ketika aksi final Olimpik Rio 2016. 

Bagaimanapun, pasangan ke-15 dunia itu masih boleh berbangga kerana pencapaian kali ini menyaksikan mereka mencipta sejarah tersendiri apabila muncul beregu campuran negara pertama berjaya ke final Terbuka Indonesia sejak kejohanan mula diperkenalkan pada 1982. 

Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui yang mengiringi Peng Soon-Liu Ying di Jakarta, berkata kekalahan anak buahnya itu bukan disebabkan rasa gementar dengan kehadiran penonton tuan rumah yang membanjiri stadium sebaliknya lawan mereka bermain lebih baik. 

"Saya tidak fikir penonton tuan rumah memberi kesan terhadap permainan Peng Soon-Liu Ying sebaliknya Tontowi-Liliyana bermain dengan lebih baik. 

"Secara keseluruhan, prestasi mereka di sini baik tetapi tidak boleh cakap sudah konsisten. Kami akan terus memantau perkembangan prestasi mereka dan membuat penilaian dalam kejohanan seterusnya, yang paling hampir adalah Kejohanan Dunia (di Nanjing, China bermula 30 Julai hingga 5 Ogos). 

"Namun, saya percaya mereka secara perlahan menunjukkan peningkatan dalam setiap kejohanan disertai terutama selepas Liu Ying kembali susulan pembedahan dilalui sebelum ini," kata Eei Hui ketika dihubungi. 

Mengikut rekod, Peng Soon-Liu Ying sudah meraih dua gelaran tahun ini apabila menjuarai Masters Thailand dan Terbuka Amerika Syarikat. 

Selain Peng Soon-Liu Ying, dua lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut layak beraksi di Nanjing.

 

Keputusan Terbuka Indonesia

Final

Perseorangan lelaki: Kento Momota (JPN) mn Viktor Axelsen (DEN) 21-14, 21-19

Perseorangan wanita: Tai Tzu Ying (TPE) mn Chen Yufei (CHN) 21-23, 21-15, 21-9

Beregu lelaki: Marcus Fernaldo Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (INA) mn Takuto Inque-Yuki Kaneko (JPN) 21-13, 21-16

Beregu wanita: Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (JPN) mn Mayu Matsutomo-Wakana Nagahara (JPN) 21-14, 16-21, 21-14

Beregu campuran: Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir (INA) mn Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (MAS) 21-17, 21-8

Berita Harian X