Khamis, 12 Julai 2018 | 3:36pm
Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Chong Wei tak kenal erti penat

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei membuktikan dia adalah juara sebenar dan contoh terbaik apabila sudah kembali menjalani latihan biarpun sebelum ini menyatakan mahu bercuti selama seminggu sebaik terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia, Sabtu lalu.

 Chong Wei yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-36, Oktober depan nyata tidak kenal erti penat apabila mula berlatih di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, kelmarin dan akan menjalani latihan penuh di gelanggang, esok.

 Mengikut perancangan awal, pemain nombor empat dunia itu sepatutnya hanya kembali berlatih pada Isnin ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang bermula 30 Julai hingga 5 Ogos.

 "Walaupun mengatakan yang dia mahu berehat tetapi Chong Wei tetap mahu memastikan kecergasannya kekal di tahap terbaik. Sebab itu, sebaik pulang dari Jakarta dia terus berlatih di gimnasium dan akan mula turun ke gelanggang untuk latihan penuh esok.

 "Chong Wei memang begitu, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan dirinya kekal pada tahap prestasi terbaik apatah lagi Kejohanan Dunia kali ini salah satu kejohanan penting untuk dirinya. Kesungguhan dan keinginannya memang luar biasa," kata jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan.

 Walaupun usianya semakin meningkat, namun Chong Wei membuktikan 'tenaganya masih muda' apabila berjaya merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia dua minggu lalu sebelum mara sehingga separuh akhir Terbuka Indonesia.

 Di final Terbuka Malaysia, dia menewaskan pemain muda Jepun, Kento Momota tetapi tewas kepada lawan sama di separuh akhir saingan Terbuka Indonesia.

 Selain Kejohanan Dunia, fokus utama Chong Wei tahun ini juga terarah kepada memburu pingat emas pertama Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang akan bermula pada 18 Ogos hingga 2 September.

 

 

Berita Harian X