Selasa, 24 Julai 2018 | 9:04pm
LEE Chong Wei - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Chong Wei alami masalah pernafasan

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei sah tidak akan beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Asia 2018 selepas mengalami masalah pernafasan yang menyaksikan dia terpaksa berehat selama sebulan.

 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan media, hari ini, berkata doktor menasihatkannya agar berehat dan menjalani rawatan bagi proses pemulihan.

 "Chong Wei memaklumkan kepada BAM yang dia tidak sihat dan mengalami masalah pernafasan. Doktornya menasihatkan untuk dia berehat dan menjalani rawatan.

 "Buat masa sekarang, dia tidak dapat menjalani latihan fizikal secara intensif untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan. Untuk itu, BAM membuat keputusan menarik penyertaan Chong Wei pada Kejohanan Badminton Dunia yang dijadual bermula 30 Julai hingga 5 Ogos serta Sukan Asia bermula 19 hingga 28 Ogos.

 "Sepanjang tempoh pemulihan, kami minta orang ramai dan pihak media memberi ruang kepada Chong Wei dan keluarganya. Kami mendoakan agar dia cepat sembuh dan kembali menjalani latihan," kata kenyataan itu.

 Semalam, Meja Sukan NSTP melaporkan, Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia kemungkinan besar menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia selepas tidak turun menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara sejak seminggu lalu.

 Dia dilaporkan jatuh sakit sebaik pulang dari Jakarta yang menyaksikan dia terkandas di separuh akhir susulan kekalahan di tangan bintang muda Jepun, Kento Momota pada 7 Julai lalu.

 Seminggu sebelum itu, Chong Wei cemerlang apabila merangkul gelaran ke-12 Terbuka Malaysia selepas menewaskan Momota dalam aksi final.

 Kali terakhir, Chong Wei ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksinya berhubung undian Kejohanan Dunia adalah pada Rabu minggu lalu yang mana dia mengakui masih berehat di rumah dan tidak turun menjalani latihan.

Berita Harian X