Ahad, 29 Julai 2018 | 10:42pm
PEMAIN badminton beregu campuran negara, Chen Tang Jie (kanan) bersama jurulatih, Pang Cheh Chang ketika sesi latihan di Akademi Badminton Negara, Bukit Kiara. - Foto Luqman Hakim Zubir

Waspada lawan bukan pilihan: Cheh Chang

 

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang mengingatkan anak didiknya supaya berwaspada dengan ancaman pasangan bukan pilihan, apabila saingan Kejohanan Dunia bermula di Nanjing, China esok.

Cabaran Malaysia dalam acara itu akan digalas tiga pasangan - pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juara Terbuka Singapura Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pilihan ketujuh, Soon Huat-Shevon dan kelapan, Peng Soon-Liu Ying terus layak ke pusingan kedua selepas mendapat bye di pusingan pertama manakala Kian Meng-Pei Jing akan menentang Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan di pusingan pertama, esok.

Ketika Soon Huat-Shevon dan Peng Soon-Liu Ying dijangka tidak berdepan halangan sukar untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir, Cheh Chang mahu mereka lebih berhati-hati.

"Ini adalah Kejohanan Dunia dan bukan kita saja yang melakukan persiapan. Jika kamu sedar, dalam kejohanan utama, kejutan pasti akan berlaku. Jika kita tidak berwaspada, kita mungkin tersingkir," kata Cheh Chang.

"Soon Huat-Shevon dan Peng Soon-Liu Ying beraksi dengan baik dalam beberapa kejohanan terakhir, jadi pasangan dari negara lain pastinya melakukan analisis terhadap mereka. Mereka perlu berikan yang terbaik sejak dari mula.

"Kian Meng-Pei Jing pula bergelut dengan prestasi tidak menentu, tetapi saya mahu mereka tahu tiada apa yang mustahil. Saya mahu mereka percaya dengan kemampuan diri sendiri."

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu campuran di Kejohanan Dunia adalah ketika gandingan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty memenangi pingat gangsa pada 2006 di Madrid.

Berita Harian X