Rabu, 1 Ogos 2018 | 7:10pm
AKSI pemain Denmark, Viktor Axelsen ketika menentang pemain China, Huang Yuxiang di Nanjing. - Foto AFP
AKSI pemain Denmark, Viktor Axelsen ketika menentang pemain China, Huang Yuxiang di Nanjing. - Foto AFP

Axelsen, Okuhara di landasan tepat

NANJING: Viktor Axelsen dan Nozomi Okuhara berjaya mara ke pusingan ketiga untuk berada pada landasan terbaik bagi mempertahankan kejuaraan badminton dunia.

Pemain Denmark, Axelsen yang juga pilihan utama dan berada di ranking nombor satu dunia, menumpaskan wakil China, Huang Yuxiang 21-17, 21-8 di pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, Okuhara dari Jepun yang diletakkan sebagai pilihan kelapan hanya memerlukan 28 minit untuk menghantar pulang pemain berusia 22 tahun dari Kanada selepas menang 21-11, 21-9.

Wakil tuan rumah, yang diketuai legenda, Lin Dan dilihat agak goyah dan mendapat tentangan sengit dari pemain badminton terbaik seluruh dunia.

Begitupun, mereka bermula dengan baik hari ini apabila pemenang pingat emas, Chen Long berjaya menumpaskan Khosit Phetpradab dari Thailand, 21-16, 21-11.

Bagaimanapun, rakan senegara Chen Long yang juga pilihan kelima perseorangan wanita, Chen Yufei berdepan saat sukar ketika menentang Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.

Selepas Yufei memenangi set pertama 21-17, Gregoria berjaya mendahului 17-10 di set kedua dan dilihat seperti perlawanan bakal diheret ke rubber set.

Pemain berusia 20 tahun itu berjaya bangkit semula untuk mengusai permainan dan menang set kedua 22-20.

"Saya rasa sudah melakukan persiapan rapi hari ini, termasuk dari segi mental dan teknikal. Ia membuatkan saya berasa lebih yakin," kata Yufei kepada agensi berita, Xinhua.

Lin Dan yang berusia 34 tahun menjadi pilihan negara tuan rumah, walaupun menjadi antara terbaik sepanjang zaman namun dia diletakkan sebagai pilihan kesembilan di Nanjing.

Dia akan bertemu wakil India, Sameer Verma di pusingan kedua malam ini. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X