Sabtu, 4 Ogos 2018 | 2:17pm
JUARA bertahan Alexander Zverev menumpaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 3-6, 6-1, 6-4 awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Terbuka Washington ATP ketika juara tiga gelaran Grand Slam, Andy Murray menarik diri kerana keletihan. - Foto AFP
JUARA bertahan Alexander Zverev menumpaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 3-6, 6-1, 6-4 awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Terbuka Washington ATP ketika juara tiga gelaran Grand Slam, Andy Murray menarik diri kerana keletihan. - Foto AFP
PEMAIN Jepun, Kei Nishikori. - Foto AFP
PEMAIN Jepun, Kei Nishikori. - Foto AFP

Zverev singkir Nishikori, mara separuh akhir

WASHINGTON: Juara bertahan Alexander Zverev menumpaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 3-6, 6-1, 6-4 awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Terbuka Washington ATP ketika juara tiga gelaran Grand Slam, Andy Murray menarik diri kerana keletihan.

Zverev, pemain ranking ketiga dari Jerman, yang memburu final kelimanya musim ini dan kejuaraan ketiga tahun ini selepas Munich dan Madrid, menyingkirkan pilihan ketujuh Nishikori, juara 2015, seperti dilakukannya pada separuh akhir Washington tahun lalu.

"Saya berasa pukulan saya lebih mantap," kata Zverev. "Ia berbaloi ketika pertembungan rali buat saya. Ia satu perlawanan bagus yang bertaraf dunia."

Zverev menempah tiket ke separuh akhir awal pagi esok menentang pilihan ke-10 dari Greece, Stefanos Tsitsipas, pemain berusia 19 tahun yang menundukkan pilihan ketiga dari Belgium, David Goffin 6-3, 6-4 dalam tempoh hanya 74 minit.

"Saya terlalu gembira menang perlawanan ini dalam dua set dan mampu menyimpan tenaga," kata Tsitsipas. "Pukulan servis saya amat bagus. Keyakinan menjadi tunjang utama dalam permainan saya jadi meraih 'break' awal amat penting."

Pemain Australia, Alex De Minaur, seorang lagi pemain berusia 19 tahun, layak ke separuh akhir tanpa berpeluh apabila Murray menarik diri, memberikan alasan keletihan selepas kemenangan tiga set dan berada di gelanggang lebih lapan jam secara keseluruhan.

Murray, yang turut menarik diri daripada Masters Toronto minggu depan, hanya beraksi kejohanan ketiga dan pertama bagi gelanggang keras sejak Mac 2017 di Indian Wells selepas berehat 11 bulan kerana kecederaan sendi.

De Minaur akan menentang sama ada pilihan ke-16 dari Russia, Andrey Rublev atau pemain Amerika Syarikat, Denis Kudla, yang mana perlawanan itu ditangguhkan awal pagi esok berikutan hujan bagi hari kelima berturut-turut.

Dalam kategori wanita, pemain Jerman, Andrea Petkovic, yang memburu kejuaraan ketujuh dan pertama sejak 2015, mengalahkan pilihan keenam dari Switzerland, Belinda Bencic 6-3, 2-6, 7-6 (10/8) untuk layak ke separuh akhir. Terdahulu dia menyingkirkan juara Terbuka AS, Sloane Stephens. - AFP

Berita Harian X