Selasa, 7 Ogos 2018 | 7:39pm
PEMAIN beregu lelaki Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi ketika sesi latihan di Akademi badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto Eizairi Shamsudin
PEMAIN beregu lelaki Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi ketika sesi latihan di Akademi badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto Eizairi Shamsudin

Ee Yi harap tak jadi mangsa BAM

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki, Teo Ee Yi merayu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar dia dan pasangannya, Ong Yew Sin diberi peluang beraksi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang dan berjanji akan membuktikan kemampuan sebenar mereka pada temasya itu.

Tempat Ee Yi-Yew Sin yang sebelum ini disenaraikan bagi menghadapi temasya terbesar Asia itu kini terancam selepas BAM mengakui sedang mempertimbangkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk dibawa Jakarta susulan prestasi luar biasa yang ditunjukkan gandingan muda itu sehingga mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

BAM perlu menggugurkan satu daripada dua pasangan yang sudah disenaraikan sama ada Goh V Shem-Tan Wee Kiong atau Ee Yi-Yew Sin jika membuat keputusan untuk membawa Aaron-Wooi Yik.

Dalam situasi ini, Ee Yi-Yew Sin yang memegang status pasangan kedua terbaik negara apabila menghuni ranking ke-26 dunia hampir pasti menjadi mangsa korban dengan badan induk itu dijangka mengumumkan keputusan mengenai perkara berkenaan, esok.

Ee Yi berkata, adalah tidak adil sekiranya prestasi mereka yang terkandas di pusingan kedua Kejohanan Dunia dijadikan sebagai ukuran untuk menafikan tempat mereka beraksi dalam acara itu yang akan berlangsung dari 19 hingga 28 Ogos ini.

"Pusingan kedua kami terpaksa berdepan V shem-Wee Kiong, sudah pasti akan ada yang menang dan kalah. Jadi, apa yang kita boleh harapkan apabila berlaku situasi seperti itu.

"Kami sudah bertekad untuk memberi fokus bagi menghadapi Sukan Asia dan kami akan balas kepercayaan dengan keputusan yang baik jika diberi peluang bermain. Bagaimanapun, keputusan terletak di tangan jurulatih dan BAM.

"Sebagai pemain, kami akur dengan setiap keputusan yang dibuat. Saya percaya jurulatih dan BAM akan menyenaraikan beregu terbaik ke Sukan Asia," kata Ee Yi ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Ee Yi-Yew Sin melonjakkan nama mereka sebagai pasangan lelaki kedua terbaik negara selepas muncul juara Terbuka Bitburger 2016 selain bergelar naib juara Terbuka New Zealand 2017.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X