Isnin, 13 Ogos 2018 | 1:00pm

'Jangan jatuhkan reputasi BAM'

KUALA LUMPUR: Penyenaraian Liew Daren dalam skuad badminton negara bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018 seharusnya dianggap sebagai satu cabaran kepada pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghasilkan keputusan cemerlang pada temasya di Jakarta itu.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek berkata, berbanding Daren yang bergerak secara profesional, pemain BAM memiliki segala kemudahan diperlukan dan seharusnya mereka beraksi lebih baik bagi menjaga reputasi badan induk itu.

"Daren sudah membuktikan biarpun dia bergerak secara profesional dan melakukan semua urusan secara sendiri, tetapi masih boleh mencipta kejayaan untuk mengharumkan negara (raih pingat gangsa Kejohanan Dunia).

"Jadi, tiada alasan untuk pemain BAM tidak boleh melakukan perkara sama sedangkan mereka memiliki segala kemudahan diperlukan sebagai seorang pemain. Saya fikir ini satu cabaran yang baik kepada pemain BAM untuk mereka buktikan kemampuan sebenar.

"Walaupun tiga lagi pemain perseorangan yang disenaraikan ke Sukan Asia kali ini masih muda tetapi faktor pendedahan tidak boleh lagi digunakan. Ini adalah masa untuk mereka buktikan kemampuan apatah lagi dengan ketiadaan Datuk Lee Chong Wei ketika ini," kata Rashid ketika dihubungi.

Daren disenaraikan ke Jakarta selepas menunjukkan prestasi cemerlang apabila meraih gangsa pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China baru-baru ini sekali gus menggantikan tempat Chong Wei yang terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan.

Tiga pemain BAM yang disenaraikan dalam acara perseorangan lelaki ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven. Daren dan Zii Jia akan beraksi dalam acara berpasukan dan individu.

Berkongsi mengenai peningkatan ditunjukkan Daren sejak dia meninggalkan BAM pada awal 2016, Rashid yang juga ketua jurulatih Akademi Badminton Sports Affairs berkata kesukaran dialami apabila bergerak secara profesional membuatkan pemain berusia 31 tahun semakin matang.

"Bukan mudah apabila seseorang itu buat keputusan untuk menjadi profesional. Semua urusan perlu dilakukan sendiri sehingga ada masa perlu mengeluarkan duit poket sendiri semata-mata untuk menyertai kejohanan di luar negara.

"Jika menyertai kejohanan di luar negara pula, Daren tidak ditemani jurulatih dan itu membuatkan dia perlu memikirkan sendiri bagaimana dia mahu menghadapi setiap lawannya. Saya fikir apa yang dilaluinya di luar mahupun di dalam gelanggang itu yang membuatkan dia semakin matang," kata Rashid yang membimbing Daren sejak pemain itu berada dalam skuad pelapis sehinggalah sekarang yang mana Daren menjalani latihan di Akademi Badminton Sports Affairs.

 

 

Berita Harian X