Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:12pm
KENTO Momota

Momota mampu padam kegemilangan Lin Dan 

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi Jepun, Kento Momota memiliki pakej lengkap untuk mendominasi acara perseorangan lelaki badminton dunia bagi tempoh yang lama.

Malah, bukan sesuatu yang mustahil untuk dia meraih pencapaian yang gemilang berbanding jaguh China, Lin Dan.

Kebangkitan luar biasa ditunjukkan pemain berusia 23 tahun itu selepas tamat tempoh penggantungan selama 15 bulan membuktikan betapa dia mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

“Dia ada bakat, kemahiran dan yang paling penting bijak untuk merencana corak permainannya. Apa yang sedang diraihnya membuktikan dia memberi komitmen penuh dalam sesi latihan kerana bukan mudah untuk mana-mana pemain meraih pencapaian yang dilakarnya tanpa kesungguhan tinggi.

"Dia tahu apa yang dimahukan. Berdasarkan usianya yang baru 23 tahun, saya pasti lebih banyak pencapaian yang akan diraihnya sekiranya terus konsisten malah lebih baik berbanding apa yang pernah dicapai Lin Dan," kata bekas ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Rashid Sidek ketika dihubungi hari ini.

Momota digantung selama 15 bulan oleh Persatuan Badminton Jepun kerana didapati berjudi pada 2016 sebelum kembali beraksi di pentas kompetitif pertengahan tahun lalu dengan dia berjaya merekodkan sembilan kejuaraan dalam 11 aksi final yang disertainya dalam tempoh setahun.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti apabila dia berjaya menjadi juara dunia buat kali pertama selepas menewaskan pemain seangkatan dengannya dari China, Shi Yuqi dalam aksi final di Nanjing, China, dua minggu lalu.

Lin Dan diangkat sebagai pemain perseorangan lelaki paling berjaya dalam sukan badminton dunia apabila meraih lima gelaran juara dunia selain dua kali memenangi pingat emas Sukan Asia (2010 dan 2014 dan Olimpik (2008 dan 2012).

Bagaimanapun, rekod berkenaan dijangka mampu dipecahkan oleh Momota yang berasal dari Mino, Kagawa, andai terus konsisten dengan prestasi yang ditunjukkannya ketika ini.

Kelibat pemain nombor empat dunia itu sekali lagi akan mencuri tumpuan apabila dia turun dengan misi memburu emas pertama pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang bermula 19 hingga 28 Ogos ini.

Bagi Rashid, Momota sudah pastinya menjadi pilihan utama untuk meraih emas tetapi dia juga perlu berwaspada dengan ancaman pemain lain khususnya dari China, Indonesia dan India.

"Semua tahu yang dia kini berada di kemuncak prestasinya dan sudah pastinya semua lawannya akan mengkaji permainannya. Dia tidak akan berdepan laluan mudah tetapi saya percaya dia cukup matang untuk mengatasi tekanan dan itu sudah terbukti," katanya.

Rashid berkata, Momota dianggap bertuah kerana tidak 'lahir' ketika zaman kegemilangan Lin Dan yang menyaksikan hanya Datuk Lee Chong Wei menjadi pencabar utamanya.

"Dalam hal ini dia cukup bernasib baik. Dia boleh mencipta namanya ketika pemain seperti Lin Dan, Chong Wei, Chen Long sudah tidak berada pada kemuncak prestasi mereka dan sebab itu dia boleh menyerlah.

"Namun, apa yang positifnya dia memanfaatkan perkara itu untuk membuktikan kemampuannya dan mencipta nama. Walaupun ada pemain seangkatan dengannya yang dianggap mampu menjadi pencabar utama seperti Viktor Axelsen (Denmark) dan Shi Yuqi, tetapi mereka masih ketinggalan berbanding apa yang ditunjukkan Momota.

"Apa yang menariknya mengenai Momota, biarpun tidak mempunyai kelebihan fizikal (tinggi) tetapi dia membuktikan ia bukan alasan untuk berjaya. Ini satu contoh yang sangat baik untuk diikuti oleh pemain lain khususnya pemain Malaysia," kata Rashid.

INFO

  • Nama: Kento Momota
  • Tarikh lahir: 1 September 1994
  • Umur: 23 tahun
  • Tinggi: 1.75 meter
  • Berat: 68kg
  • Tangan: Kiri
  • Ranking dunia: 4
  • Jurulatih: Keita Masuda
  • Pencapaian utama:

    - Juara Kejohanan Badminton Dunia 2018

    - Juara Kejohanan Badminton Asia 2018

    - Juara Terbuka Indonesia 2015 dan 2018

    - Juara Terbuka India 2016

    - Juara Terbuka Singapura 2015

    - Juara Siri Super Akhir 2015

Berita Harian X