Sabtu, 15 September 2018 | 7:47pm
MOMOTA (kiri) bersalaman dengan pemain Denmark, Viktor Axelsen selepas aksi separuh akhir terbuka Jepun di Tokyo. - Foto EPA

Momota kukuhkan cengkaman, singkirkan Axelsen

TOKYO: Kento Momota mengenepikan pemain pilihan pertama, Viktor Axelsen 21-18, 21-11 dengan mempamerkan aksi cukup penuh dominasi dan agresif untuk menempah slot ke final badminton Terbuka Jepun, hari ini.

Kemenangan Momota ke atas pemain sensasi Denmark berusia 24 tahun itu menyaksikan dia bakal membuat perhitungan dengan Khosit Phetpradab dari Thailand yang menang ke atas pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun 21-12, 21-16.

“Memang sukar untuk bermain secara rali panjang apabila menentang Axelsen kerana dia memiliki banyak variasi pukulan tepat,” kata Momota kepada TV Asahi selepas perlawanan.

“Saya layak untuk menang kerana saya sentiasa agresif sehingga ke detik akhir,” katanya.

Bulan lalu, Momota muncul pemain Jepun pertama muncul juara Kejohanan Dunia, selepas bangkit mengenepikan skandal perjudian yang hampir memusnahkan kariernya sebelum ini.

Pemain berusia 24 tahun ini terpalit dengan kontroversi pada 2016 dan digantung lebih setahun serta diketepikan daripada beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

Sejak itu, Momota yang kini berada di ranking kedua dunia, berusaha keras untuk kembali mendapat tempat dalam arena badminton.

Dalam aksi perseorangan wanita, juara Olimpik, Carolina Marin menghantar pulang pemain dunia nombor lima dari China, Chen Yufei menerusi kemenangan 21-12, 21-13.

Pemain Sepanyol ini muncul pemain wanita pertama memenangi tiga gelaran dunia selepas kemenangan ke atas P.V. Sindhu dari India dalam kejohanan di Nanjing, bulan lalu.

Marin, 25, menambah koleksi trofi pada 2018 selepas muncul juara pada edisi 2014 dan 2015 serta memenangi pingat emas Olimpik dengan mengalahkan Sindhu pada temasya 2016.

Marin akan berdepan seorang lagi pemain tuan rumah yang juga juara dunia 2017, Nozomi Okuhara, 23. Dia layak ke pentas final mengalahkan rakan senegara, Aya Ohori, 21-12, 21-12. - AFP

Berita Harian X