Ahad, 7 Oktober 2018 | 8:37pm
LEE Zii Jia. - Foto FATHIL ASRI

'Kemenangan untuk Chong Wei, mendiang Chee Tean'

KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia mencipta kebangkitan menakjubkan di arena badminton apabila menjuarai kejohanan terbesar dalam kariernya dengan mengungguli Terbuka Taiwan, hari ini.

Kemenangan itu didedikasikan kepada mendiang rakannya, Tan Chee Tean yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Republik Czech, minggu lalu dan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei yang menghidap kanser hidung.

Pada aksi final, pemain perseorangan lelaki negara itu yang tersisih sebulan susulan kecederaan belakang menewaskan pemain Jepun, Riichi Takeshita 21-17, 16-21, 21-11 di Arena Taipei.

Ia adalah gelaran kedua dimenangi pemain berusia 20 tahun dari Kedah itu selain memenangi Kejohanan Antarabangsa Poland tahun lalu sejak menyertai skuad senior pada 2016.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini, tetapi saya tidak mahu terlalu meraikannya,” kata Zii Jia ketika dihubungi. 

“Arena badminton negara sejak beberapa minggu lalu agak muram.

“Pertama, kita mendapat berita mengenai keadaan Datuk Lee Chong Wei dan kemudian kematian Chee Tean, ia amat menyedihkan. Chee Tean dan saya membesar bersama kerana kami dari negeri yang sama.

“Justeru, saya tidak fikir adalah suatu yang tepat untuk saya terlalu meraikan kemenangan ini. Sebaliknya, saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada Datuk Lee Chong Wei dan keluarga Chee Tean."

Kemenangan Zii Jia turut menyaksikan kemarau 14 tahun negara untuk memenangi gelaran dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Taiwan berakhir selepas kali terakhir dimenangi Chong Wei.

Antara pemain negara yang pernah memenangi gelaran sama ialah ketua jurulatih, Misbun Sidek (1987) dan Wong Choong Hann (2003).

Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia membawa pulang hadiah wang kemenangan AS$37,500 dolar (RM156,000).

31 dibaca
Berita Harian X