Ahad, 14 Oktober 2018 | 11:09pm
NOVAK Djokovic. - Foto AFP
NOVAK Djokovic. - Foto AFP

Amaran Djokovic

SHANGHAI: Novak Djokovic memberi amaran dia sudah bersedia merampas gelaran pemain nombor satu dunia daripada Rafael Nadal selepas memenangi saingan Shanghai Masters menewaskan Borna Coric  6-3, 6-4, hari ini.

Pemenang 14 gelaran Grand Slam itu mempamer aksi meyakinkan sepanjang minggu ini sebelum membuat perhitungan dengan lawannya dari Croatia yang juga rakan sepelatihnya.

Djokovic meraih mata kemenangan selepas mengharungi ulang tayang video.

Pemain sensasi berusia 31 tahun itu akan mengatasi Roger Federer di kedudukan kedua ranking dunia apabila kedudukan ranking bakal dikemaskini.

Nadal yang tidak beraksi di Shanghai atau Beijing minggu lalu kerana kecederaan lutut, hanya memiliki kelebihan 215 mata di depan Djokovic dalam perebutan untuk menamatkan musim di kedudukan pertama dunia.

“Ini adalah kedudukan yang terbaik,” kata Djokovic yang kali terakhir menduduki ranking pertama dunia dua tahun lalu.

“Saya kini semakin menghampiri Nadal dan meletakkan diri saya di kedudukan terbaik berbanding tahun lalu,” katanya.

Djokovic sudah memenangi 18 perlawanan ATP berturut-turut selain memenangi Terbuka Wimbledon, Cincinnati Masters, Terbuka Amerika Syarikat dan kini Shanghai Masters buat kali keempat. – AFP

Berita Harian X