Selasa, 16 Oktober 2018 | 11:27pm
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Foto Luqman Hakim Zubir

Peng Soon-Liu Ying cemas sebelum menang

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying nyaris dimalukan sebelum bangkit bagi melakar kemenangan seterusnya mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark, sebentar tadi.

Pilihan keenam kejohanan itu tewas 18-21 di set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-19, 21-16 bagi menewaskan pasangan Belanda, Jacco Arends-Selena Piek dalam aksi pusingan pertama.

Kemenangan itu menyaksikan mereka akan bertemu beregu Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino untuk perebutan tempat ke suku akhir.

Terdahulu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Denmark, Mikkel Mikkelsen-Mai Surrow 21-19, 19-21, 21-11.

Mereka akan menentang pasangan China, Lu Kai-Chen Lu pada aksi pusingan kedua.

Esok, tiga lagi wakil negara diketuai perseorangan lelaki profesional, Liew Daren; beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan turun memulakan aksi pada pusingan pertama.

Berita Harian X