Isnin, 22 Oktober 2018 | 1:41pm
RASHID Sidek

Bukan tanggungjawab Choong Hann seorang: Rashid

KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton kebangsaan, Rashid Sidek percaya tanggungjawab bagi merealisasikan impian memenangi pingat emas Olimpik tidak terletak hanya di bahu Wong Choong Hann.

Sebaliknya, dia menegaskan ia terletak kepada jurulatih dan pemain.

Sabtu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Choong Hann sebagai pengarah kejurulatihan yang baharu dalam usaha mempersiapkan skuad negara bagi menghadapi Olimpik Tokyo 2020.

Selain bekerjasama rapat dengan semua lima ketua jurulatih, Choong Hann turut menggalas tugas bagi merealisasikan impian meraih emas Olimpik.

Rashid yang juga bekas rakan sepasukan Choong Hann, berkata: “Saya puji keputusan melantik Choong Hann. Ia seperti nafas baharu.

“Seperti kita tahu, Choong Hann ada banyak idea baharu. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana dia melaksanakannya.

“Bagaimanapun, memenangi emas Olimpik bukan tanggungjawab dia seorang. Ia bergantung sama ada jurulatih dan pemain yang ada mampu mengikut program yang akan diperkenalkannya.

“Selain pengalaman menjadi jurulatih, ini adalah tugas baharu buat Choong Hann. Ia tanggungjawab yang besar,” kata Rashid.

Choong Hann yang dihubungi semalam berkata dia mahu memulakan tugas lebih awal biarpun kontraknya secara rasmi hanya berkuatkuasa pada 1 Januari depan.

Berita Harian X