Khamis, 25 Oktober 2018 | 6:42pm
KENNY Goh - Foto OSMAN ADNAN

Kelab, BAM perlu jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Satu mekanisme perlu dicari bagi memastikan kelab dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) boleh menjalinkan kerjasama dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan itu.

Bekas 'orang kuat' BAM, Kenny Goh mengakui kelab mampu memainkan peranan bagi memperbesarkan kumpulan bakat baharu yang boleh dilahirkan tetapi dengan syarat mereka perlu mempunyai pelan perancangan yang strategik untuk tempoh jangka masa pendek dan panjang.

"Jika kelab memainkan peranan, kumpulan bakat baharu kita akan menjadi lebih besar, jadi satu mekanisme terbaik perlu dicari bagi memastikan kerjasama antara kelab dengan BAM boleh dijalankan.

"Namun, kelab perlu ada pelan perancangan yang kukuh. Sebagai contoh, Indonesia dan Jepun memang bergantung kepada kelab untuk menyalurkan pemain kepada persatuan dan kelab di sana ada perancangan yang menyeluruh.

"Di Malaysia sebaliknya yang berlaku dan sebagai contoh, kelab masih bergantung kepada pemain BAM untuk beraksi dalam saingan Purple League," kata bekas Pengurus Besar BAM itu ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan ketua jurulatih Akademi Badminton Sports Affairs, Rashid Sidek, semalam yang berharap situasi menang-menang dapat diwujudkan dengan semua pihak berkepentingan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), BAM dan syarikat swasta untuk tampil membantu.

Ini susulan tawaran yang dibuat BAM kepada pemain Sports Affairs, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang bersetuju untuk menyertai badan induk berkenaan bermula 3 Disember depan.

Tanpa menidakkan peluang lebih cerah untuk Aidil meneruskan kerjaya bersama BAM, Rashid bagaimanapun menegaskan kelab juga perlu mendapat pulangan selepas membuat pelaburan ke atas pemain itu.

Kenny yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, berkata apa yang boleh dilakukan kelab ketika ini adalah mengukuhkan struktur mereka bagi menarik perhatian pihak berkepentingan khususnya penaja.

"Tidak dinafikan, kewangan adalah faktor penting tetapi saya percaya jika kelab ada perancangan yang kukuh, mereka boleh dapat penajaan," katanya.

Berita Harian X