Jumaat, 26 Oktober 2018 | 9:51am
BEREGU campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - Foto Eizairi Shamsudin

Cabaran Malaysia di Paris berakhir

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Perancis berakhir selepas dua wakil negara tumbang di tangan lawan masing-masing pada pusingan kedua, awal pagi tadi.

Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal mencetuskan kebangkitan apabila tewas kepada pasangan England, Marcus Ellis-Lauren Smith 19-21, 24-22, 19-21 dalam aksi yang berlarutan selama satu jam 21 minit.

Kekalahan menyaksikan pasangan ranking ke-12 dunia itu gagal sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian mereka pada Terbuka Denmark minggu lalu apabila mara ke suku akhir.

Sementara itu, beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal dalam misi untuk mencapai sasaran layak ke suku akhir dalam penampilan pertama di Paris apabila tewas kepada pasangan China, Han Chengkai-Zhou Haodong 19-21, 16-21.

Aaron-Wooi Yik dilabel sebagai permata baharu skuad beregu lelaki negara dan mula mencuri tumpuan selepas kejayaan melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia, Julai lalu.

Berita Harian X