Selasa, 30 Oktober 2018 | 9:07pm
AKSI beregu campuran negara, Peck Yen Wei bersama Chen Tang Jie. - Foto SAIRIEN NAFIS

2 beregu campuran ke pusingan kedua Terbuka Macau

 

KUALA LUMPUR: Dua beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei masing-masing mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Macau, hari ini.

Pang Ron-Yee See paling mencuri tumpuan apabila melakar kejutan menewaskan pilihan ketiga dari Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 19-21, 21-18, 21-10 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung selama 48 minit.

HOO Pang Ron - Foto OWEE AH CHUN

“Sudah pasti kami gembira dengan kejayaan menewaskan pasangan pilihan. Ini boleh dianggap satu kejayaan besar buat kami.

“Namun, kami tidak boleh mudah berpuas hati dan berharap kami boleh melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini. Yang paling penting, kami perlu fokus satu demi satu perlawanan,” kata Pang Ron ketika dihubungi.

Mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara Yang Ming Tse-Kuo Yu Wen dari Taiwan dengan beregu Thailand, Tanupat Viriyangkura-Kwanchanok Sudjaipraparat bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

Sementara itu, Tang Jie-Yen Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat mara selepas menewaskan pasangan China, Fan Qiuyue-Xu Ya 21-16, 21-10.

Kemenangan itu menyaksikan mereka akan membuat perhitungan dengan beregu Hong Kong, Mak Hee Chun-Yeung Nga Ting bagi aksi pusingan kedua.

Terdahulu, dalam aksi pusingan kelayakan yang turut berlangsung hari ini, Tang Jie yang bergandingan bersama Man Wei Chong cemerlang apabila mara ke undian utama dengan menewaskan Jeffery Lam-Hin Shun Wong dari Kanada dan England 21-4, 21-7.

Mereka akan bertemu beregu Thailand, Chaloempon Charoenkitamaron-Charongrat Nobsamrong untuk aksi pusingan pertama, esok. 

Berita Harian X