Selasa, 13 November 2018 | 6:28pm
BEREGU campuran Malaysia, Goh Soon Huat (kiri) dan Shavon Jemie. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Dua beregu campuran ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memulakan misi untuk sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir Terbuka Hong Kong dengan mara ke pusingan kedua, hari ini.

Tampil sebagai pilihan kelapan, Soon Huat-Shevon hanya memerlukan tempoh 22 minit bagi menewaskan pasangan Perancis, Ronan Labar-Audrey Mittelheisser 21-7, 21-8 pada pusingan pertama.

Pasangan nombor dua negara itu sekurang-kurangnya perlu mara ke suku akhir di Hong Kong bagi mengesahkan tempat ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Guangzhou, China, bulan depan.

Ia bagi membolehkan mereka mengiringi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang sudah layak ke kejohanan penamat musim itu.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking jelajah dunia layak ke Guangzhou.

Ketika ini Soon Huat-Shevon berada di kedudukan kelima manakala Peng Soon-Liu Ying kedua.

Mereka akan bertemu beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti bagi merebut tempat ke suku akhir, Khamis ini.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut menurut jejak Soon Huat-Shevon apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu Taiwan, Chang Ko Chi-Cheng Chi Ya 20-22, 21-17, 21-18.

Mereka akan membuat perhitungan dengan pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping untuk merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Peng Soon-Liu Ying apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu tewas kepada gandingan England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 19-21, 16-21.

Berita Harian X