Khamis, 15 November 2018 | 4:44pm
CHOONG Hann mula melapor diri sebagai pengarah kejurulatihan BAM, hari ini.

Choong Hann mula kerja hari ini

KUALA LUMPUR: Wong Choong Hann mengakui teruja dapat kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila secara rasminya memulakan tugas sebagai pengarah kejurulatihan badan induk itu, hari ini.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu yang meninggalkan BAM pada 2011 berkata, peluang untuk sekali lagi berkhidmat bersama badan induk itu adalah sesuatu yang dinantikan dan sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran baharu buat kerjayanya.

“Sudah pasti saya teruja untuk memulakan tugas hari ini, ini sesuatu yang saya nantikan. Saya juga teruja untuk bertemu dengan semua jurulatih, pemain dan pengurusan BAM,” kata Choong Hann ketika ditemui selepas melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, pagi tadi.

Choong Hann yang juga bekas naib juara 2003 sepatutnya hanya memulakan tugas pada 1 Januari depan tetapi mengambil keputusan bermula awal bagi melakukan persiapan menghadapi Olimpik Tokyo 2020 yang juga menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai pengarah kejurulatihan.

Walaupun sedar ia akan menjadi tanggungjawab yang besar buat dirinya terutama bagi memastikan badminton meraih pingat emas di Tokyo, Choong Hann yang berusia 41 tahun percaya ia mampu dicapai dengan kerjasama penuh daripada semua barisan jurulatih.

Ia termasuklah ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek yang pernah membimbingnya ketika bergelar pemain.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan semua jurulatih termasuk Misbun. Saya sudah mengenali kebanyakan mereka sudah lama, jadi saya fikir tiada masalah untuk saya bekerja dengan mereka kerana kami memahami antara satu sama lain.

“Saya sedar fokus sekarang terarah kepada Olimpik Tokyo 2020 dan sasaran untuk meraih emas.

“Sebenarnya, program untuk Tokyo 2020 sudah pun berjalan dan kehadiran saya adalah untuk meneruskan dan menyuntik idea baharu bagi penambahbaikan untuk mencapai matlamat itu,” kata Choong Hann yang membantu skuad negara muncul naib juara Piala Thomas 1998 dan 2002.

Berita Harian X