Jumaat, 16 November 2018 | 5:46pm
MISBUN ketika sesi latihan perseorangan lelaki di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - NSTP/Saddam Yusoff

Misbun tak terancam Choong Hann hadir

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak berdepan sebarang masalah bekerjasama dengan pengarah kejurulatihan baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.

Misbun yang pernah melatih bekas perseorangan lelaki negara itu berkata, beliau tidak berasa terancam kerana masih memantau bahagian teknikal apabila berkaitan dengan anak buahnya.

Beliau yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk membentangkan laporan kepada Choong Hann.

“Beliau tidak akan mengubah apa yang saya lakukan sekarang. Kami diberikan tugas khusus. Saya akan melihat di bahagian teknikal, latihan serta menetapkan sasaran buat pemain.

“Choong Hann pula akan meihat sasaran yang ditetapkan bersama saya dan mancari jalan terbaik untuk mencapainya. Tiada sebab buat saya rasa terancam selepas pelantikannya walaupun saya pernah melatihnya sebelum ini,” kata Misbun yang berusia 58 tahun.

Choong Hann yang juga bekas pemain nombor satu dunia, meninggalkan badan induk itu selepas Sukan Olimpik 2008. Beliau dilantik sebagai pengarah kejurulatihan bulan lalu dan memulakan tugas secara rasmi semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak bersedia bekerjasama dengan Choong Hann, pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2003.

“Ketika Choong Hann meninggalkan skuad kebangsaan, beliau membabitkan diri dalam banyak perkara yang tidak berkaitan dengan badminton.

“Kadangkala lebih baik mempunyai orang seperti itu. Jurulatih seperti kami sudah lama dalam industri ini, pandangan kami mungkin tidak sama berbanding mereka yang melihat dari luar.

“Saya bersedia untuk mempelajari benda baru dan sumbangan idea Choong Hann,” kata Rosman.

Selepas dilabel sebagai antara pengarah kejurulatihan termuda di dunia, sasaran utama Choong Hann adalah untuk menamatkan penantian Malaysia meraih emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berita Harian X