Ahad, 18 November 2018 | 9:51am
Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng. - Foto Osman Adnan

Jin Wei luar biasa - Yoke Meng

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei membuktikan dia berada pada kelas tersendiri berbanding rakan seusianya dari negara lain.

Jin Wei, 18, mempamerkan prestasi luar biasa ketika menyingkirkan pilihan utama dari China, Wang Zhiyi 21-9, 21-13 dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, awal pagi tadi.

 

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng memuji prestasi ditunjukkan Jin Wei dan percaya pemain itu mempunyai peluang cerah bagi merekodkan gelaran kedua apabila turun beraksi di pentas akhir.

 

Jin Wei yang turut muncul juara pada edisi 2015 akan menentang pemain Denmark, Line Christophersen pada pertarungan penentu gelaran.

 

“Jin Wei menunjukkan prestasi yang tinggi, tahap permainannya sangat berbeza dengan standard untuk saingan peringkat remaja. Dia bermain dengan corak permainan bijak.

 

“Dia berjaya menguasai lawannya dan bermain dengan bijak apabila tidak terburu-buru bagi melakukan serangan.

“Dia menunjukkan tahap kesabaran yang tinggi sekali gus membuatkan Zhiyi sering kali tersilap langkah,” kata Yoke Meng ketika dihubungi.

 

Sementara itu, gandingan Pearly Tan-Toh Ee Wei selangkah lagi untuk mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama negara muncul juara remaja dunia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1992 apabila turut melangkah ke perlawanan akhir.

 

Pearly-Ee Wei mara selepas menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto 21-19, 21-19 dalam aksi separuh akhir.

 

Mereka akan menentang pilihan pertama dari China, Liu Xuanxuan-Xia Yuting bagi perebutan gelaran juara.

 

“Pearly-Ee Wei tidak beraksi pada tahap prestasi sebenar mereka hari ini (awal pagi tadi). Saya harap mereka dapat beraksi pada tahap terbaik mereka esok (awal pagi Isnin) sekali gus mencipta sejarah menjadi beregu wanita pertama menjadi juara,” kata Yoke Meng.

Berita Harian X