Jumaat, 7 Disember 2018 | 4:31pm
GAMBAR fail, pemain perseorangan Malaysia, Soong Joo Ven ketika beraksi pada Celcom Axiata Malaysia International Challenge yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara pada April lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

Joo Ven, Chi Wing masih selamat

 

KUALA LUMPUR: Kedudukan Soong Joo Ven dan Lim Chi Wing dalam skuad kebangsaan masih selamat dengan mereka kekal berada dalam perancangan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.

Misbun berkata, khidmat kedua-dua pemain itu masih diperlukan untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi terutama bagi membantu meningkatkan prestasi pemain muda ketika latihan.

“Mereka masih kekal untuk sekurang-kurangnya setahun lagi berdasarkan perkembangan semasa. Macam Joo Ven, sejak awal lagi kami cuba bentuk dia, akhir-akhir saya dapat lihat peningkatan yang ditunjukkannya.

“Rupanya, apa yang berlaku adalah input latihan diberi sebelum ini tidak cukup dengan kapasiti yang dimilikinya. Dengan ada Joo Ven dalam pasukan adalah lebih baik bagi membantu pemain muda seperti Lee Zii Jia dan lain-lain.

“Mereka adalah yang terbaik selain daripada Datuk Lee Chong Wei. Chong Wei pun tiada sekarang, jadi jika mereka tiada pada siapa pemain muda boleh belajar nanti.

“Bagi Chi Wing pula, dia adalah juara kebangsaan dan pemain berpengalaman. Lagipun, dia tidak mendatangkan masalah ketika latihan dan saya masih boleh bentuk dia,” kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini dalam proses untuk mengurangkan bilangan pemain dalam skuad kebangsaan dengan 12 pemain dijangka digugurkan menjelang Januari depan.

Nama Joo Ven dan Chi Wing disebut-sebut antara pemain dijangka digugurkan susulan prestasi tidak menentu mereka sejak berada dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Misbun yang kembali berkhidmat bersama BAM sejak Julai tahun lalu, berkata keputusan sama ada pemain kekal atau digugurkan adalah di tangannya.

“Keputusan adalah terpulang kepada saya. Saya fikir biar dulu mereka bersama skuad kebangsaan.

“Sebenarnya, majoriti pemain Malaysia lambat matang sebab itu kalau kita tengok, pemain yang keluar daripada BAM selepas itu baru kita nampak kemampuan sebenar mereka,” kata Misbun.

358 dibaca
Berita Harian X