Rabu, 12 Disember 2018 | 7:54pm
WONG Choong Hann - Foto SADDAM YUSOFF
WONG Choong Hann - Foto SADDAM YUSOFF

Berikan aksi terbaik - Choong Hann

KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mahu beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai memberikan aksi terbaik di Jelajah Akhir Dunia BWF.

Choong Hann berkata, kejohanan Tahap Satu itu bakal menjadi landasan terbaik buat dua gandingan negara itu selain sebagai tahap mengukur kemampuan mereka menjelang musim baru.

"Kejohanan itu mungkin tidak memberi sebarang makna kerana kita sudah berada di penghujung musim namun ia tetap satu pertandingan tahap tertinggi. Ia akan dihadiri pemain dan pasangan terbaik yang beraksi konsisten sepanjang musim.

 "Saya berharap gandingan negara akan menggunakan peluang ini untuk membuktikan kemampuan mereka, baik dari segi kemahiran dan tahap mereka. Kita akan lihat bagaimana mereka berdepan gandingan terbaik dunia.

"Beraksi dengan baik bukan saja mampu menaikkan keyakinan mereka tapi bakal menjadi perangsang menjelang kelayakan Olimpik yang akan bermula Mei ini," kata Choong Hann ketika dihubungi hari ini.

Pasangan nombor satu negara, Peng Soon-Liu Ying, berjaya melayakkan diri ke kejohanan di Guangzhou, China itu selaku gandingan nombor empat terbaik ranking Jelajah Dunia, manakala Soong Huat-Shevon di tangga ketujuh.

Hanya lapan pemain dalam acara perseorangan dan pasangan terbaik beregu layak beraksi di kejohanan penutup Jelajah Dunia BWF itu.

Hari ini, Peng Soon-Liu Ying akan beraksi dalam perlawanan Kumpulan B menentang gandingan China, Wang Yilyu-Huang Dongping, manakala Soon Huat-Shevon berdepan pasangan nombor tujuh dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand bagi Kumpulan A.

Hanya dua pasangan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir.

Gandingan lain yang berada dalam Kumpulan A ialah pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dan wakil England, Marcus Ellis-Lauren Smith, manakala Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (Indonesia) melengkapkan Kumpulan B.

Berita Harian X