Rabu, 12 Disember 2018 | 11:49pm
BEREGU campuran Negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying tewas kepada gandingan China, Wang Yilyu-Huang Dongping. - Foto NSTP
BEREGU campuran Negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying tewas kepada gandingan China, Wang Yilyu-Huang Dongping. - Foto NSTP

Beregu negara mula langkah kiri

KUALA LUMPUR: Tiada khabar gembira daripada kedua-dua pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Jelajah Akhir Dunia BWF selepas masing-masing tewas pada perlawanan pembukaan, malam tadi.

Pada aksi di Guangzhou, China itu, Peng Soon-Liu Ying yang bermain dalam Kumpulan B tewas kepada gandingan China, Wang Yilyu-Huang Dongping dengan keputusan 22-20, 21-13.

Ia adalah kekalahan pertama pasangan nombor satu negara itu kepada beregu nombor dua dunia itu daripada tiga pertemuan sebelum ini.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 tidak mempunyai masa untuk meratapi kekalahan itu selepas dijadual bertemu pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, esok.

Sementara itu dalam Kumpulan A, pasangan kedua negara, Soon Huat-Shevon tewas 21-19, 21-10 kepada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Mereka dijadual mengharungi laluan lebih sukar apabila bertemu pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China esok.

Hanya dua pasangan terbaik daripada kedua-dua kumpulan layak ke separuh akhir.

Berita Harian X