Sabtu, 15 Disember 2018 | 4:04pm
Pasangan regu Goh Liu Ying (kiri) dan Chan Peng Soon beraksi ketika menentang pemain Jepun Yuta Watanabe dan Arisa Higashino pada perlawanan Piala Dunia BWF Tour 2018 di Guangzhou, di wilayah selatan China, Guangdong, semalam. - Foto AFP
Pasangan regu Goh Liu Ying (kiri) dan Chan Peng Soon beraksi ketika menentang pemain Jepun Yuta Watanabe dan Arisa Higashino pada perlawanan Piala Dunia BWF Tour 2018 di Guangzhou, di wilayah selatan China, Guangdong, semalam. - Foto AFP

Masa cemburui Peng Soon-Liu Ying 

KUALA LUMPUR: Masa terlalu mencemburui Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mereka terus meratapi kegagalan melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF selepas terkandas dalam saingan peringkat kumpulan.

Ini kerana beregu campuran negara itu hanya mempunyai tempoh lebih kurang tiga minggu bagi membuat persiapan sebelum menghadapi kejohanan pertama tahun depan pada saingan Thailand Masters yang bermula dari 8 hingga 13 Januari.

“Kecewa memang kecewa kerana kami ada peluang yang baik untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam kejohanan ini (Jelajah Dunia Akhir BWF) namun gagal. Bagaimanapun, kami perlu segera lupakan kegagalan ini.

“Kami perlu kembali fokus menjalani latihan bagi melakukan persiapan menghadapi kejohanan tahun depan termasuk kelayakan Olimpik Tokyo 2020. Kejohanan pertama kami  adalah Thailand Masters dan kami jelas tidak mempunyai banyak masa,” kata Liu Ying ketika dihubungi.

Diundi dalam Kumpulan B pada kejohanan di Guangzhou, China itu, Peng Soon-Liu Ying pada awalnya dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara ke separuh akhir.

Ini kerana dua daripada tiga lawan adalah pasangan yang mereka tidak pernah tewas sebelum ini iaitu Wang Yilyu-Huang Dongping dari China dan Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun).

Bagaimanapun, rekod tanpa kalah mereka lebur apabila tewas 20-22, 13-21 kepada Wang Yilyu-Huang Dongping dan 9-21, 18-21 di tangan pasangan Jepun itu.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu hanya menang ke atas beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-14, 21-12.

Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mengalami nasib sama apabila gagal ke separuh akhir malah tewas semua tiga perlawanan dalam saingan peringkat Kumpulan A.

Jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui berkata, biarpun gagal melakar kemenangan tetapi Soon Huat-Shevon meraih pengalaman berguna dalam kejohanan yang menghimpunkan lapan pasangan terbaik dunia itu.

“Soon Huat-Shevon meraih pengalaman berguna dan kini lebih jelas apa kelemahan yang mereka perlu perbaiki. Apa yang lebih penting mereka tahu di mana tahap sebenar mereka jika dibandingkan dengan pasangan utama dunia lain.

“Saya harap mereka akan melakukan persiapan lebih baik bagi menghadapi kejohanan tahun depan,” kata Eei Hui.

Dalam aksi kumpulan menyaksikan Soon Huat-Shevon yang juga juara Terbuka Singapura tewas di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanahai 19-21, 10-21, beregu nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 16-21, 12-21 dan Marcus Ellis-Lauren Smith (England) 20-22, 22-20, 14-21.

 

Berita Harian X