Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:23am
Goh V Shem-Tan Wee Kiong membuktikan mereka masih beregu lelaki terbaik negara. - Arkib NSTP

V Shem-Wee Kiong masih yang terbaik

KUALA LUMPUR: Goh V Shem-Tan Wee Kiong membuktikan mereka masih beregu lelaki terbaik negara biarpun kini sudah bergerak secara profesional.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu tidak berdepan masalah melangkah ke separuh akhir Masters Thailand selepas menundukkan bekas rakan sepasukan yang masih bernaung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin 21-12, 21-16 dalam aksi suku akhir di Bangkok,  hari ini.

Mereka yang menghuni ranking ke-14 dunia akan bertemu pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito bagi perebutan tempat ke final, esok. 

Bagaimanapun, skrip berbeza dalam satu lagi aksi suku akhir beregu lelaki apabila pasangan muda negara, Nur Izuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjaya menundukkan gandingan profesional, Mohd Arif Latif-Nur Azriyn Ayub 21-8, 21-14 dan mereka akan membuat perhitungan pilihan kelima dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, esok.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut meninggalkan BAM awal bulan ini semakin hampir mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka tahun lalu apabila turut melangkah ke separuh akhir.

Kejayaan itu hadir selepas mereka menewaskan Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami dari Indonesia 21-12, 22-20.

"Walaupun kami berjaya ke separuh akhir tetapi kami tidak boleh berpuas hati. Kami belum buktikan apa-apa lagi kerana perjalanan kami terutama selepas bergerak secara profesional masih lagi jauh," kata Peng Soon ketika dihubungi.

Peng Soon-Liu Ying yang tampil sebagai pilihan utama akan bertemu beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau, esok.

Dalam pada itu, dua pemain perseorangan lelaki muda negara, Lee Zii Jia dan Cheam June Wei gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas di suku akhir.

Zii Jia tewas di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez 11-21, 19-21 manakala June Wei berjaya mencuri satu set daripada juara dunia lima kali dari China, Lin Dan sebelum tumbang 21-14, 16-21, 8-21. 

Berita Harian X