Khamis, 17 Januari 2019 | 8:06pm
Pemain negara, Lee Zii Jia beraksi ketika menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto menerusi Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Pemain negara, Lee Zii Jia beraksi ketika menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto menerusi Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Misi tumbangkan idola

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui juara dunia 2017, Viktor Axelsen dari Denmark sebagai idolanya.

Malah, juara Terbuka Taiwan 2018 itu tanpa berselindung turut mengakui dia banyak ‘mencuri’ gaya permainan Axelsen untuk diterapkan dengan corak permainanan dirinya.

Dia juga sering mengimpikan untuk membuat perhitungan dengan idolanya itu yang juga pemain ranking nombor enam dunia.

Impiannya itu akhirnya menjadi kenyataan apabila dia akan bertemu Axelsen pada aksi suku akhir Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.

Terdahulu, Zii Jia mara ke suku akhir selepas menewaskan finalis tahun lalu dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-15, 21-17 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Axelsen yang juga juara bertahan mara selepas menundukkan rakan senegara, Hans-Kristian Vittinghus 21-18, 21-19.

“Sebenarnya Axelsen adalah idola saya dan memang berharap sangat dapat bermain menentangnya. Kali ini, saya dapat peluang itu dan saya tidak akan sia-siakannya.

“Saya memang suka tengok cara dia bermain dan banyak saya belajar daripadanya. Saya akan bincang dengan jurulatih (Datuk Misbun Sidek) mengenai bagaimana cara untuk mengatasinya esok,” kata Zii Jia ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita muda negara, Goh Jin Wei meletakkan namanya sebaris dengan jagoan dunia yang lain dengan dia menjadi satu-satunya pemain bukan daripada kelompok 12 terbaik dunia berjaya ke suku akhir.

Jin Wei yang menghuni ranking ke-28 dunia meneruskan rentak cemerlangnya dengan mengetepikan cabaran pemain China, Zhang Yiman 21-13, 21-10 dalam aksi pusingan kedua.

Dia akan bertemu pemain nombor tujuh dunia dari China, He Bingjiao bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Selain Jin Wei dan Bingjiao, enam lagi pemain yang layak ke suku akhir ialah pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan; pemain Thailand, Ratchanok Intanon (8); pemain Sepanyol, Carolina Marin (6), pemain Korea Selatan, Sung Ji Hyun (11); pemain India, Saina Nehwal (9) dan pemain Jepun, Nozomi Okuhara (2).

 

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X