Jumaat, 18 Januari 2019 | 6:04pm
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Ng Chin Chai (dua, kiri) ketika sidang media sempena Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. Turut hadir (dari kiri) Timbalan Presiden BAM Datuk Wira Lim Teong Kiat, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Woong Choon Hann dan Naib Presiden BAM Datuk Teoh Teng Chor. - Foto BERNAMA

Keputusan MSN tak masuk akal

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan sesuatu yang tidak masuk akal apabila pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei hanya disenaraikan di bawah Tahap 3 dalam program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

BAM dimaklumkan hanya jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei disenaraikan di bawah Tahap 1 bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Di bawah penstrukturan semula program kendalian MSN itu, Tahap 1 adalah bagi atlet yang dilihat berpotensi memenangi pingat Olimpik, Tahap 2 (Sukan Komanwel dan Sukan Asia), Tahap 3 (Sukan SEA) dan Tahap 4 (sukan yang tidak dipertandingkan pada temasya sukan utama).

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, badan induk itu akan menghantar surat rayuan kepada MSN dan mencadangkan sekurang-kurangnya lima pemain lagi bagi disenaraikan dalam Tahap 1.

Senarai terkini dikeluarkan MSN menyaksikan BAM mempunyai seorang pemain di bawah Tahap 1, tujuh di bawah Tahap 2, 10 bagi Tahap 3 dan empat di bawah Tahap 4.

“Senarai ini diberikan MSN selepas mesyuarat hari ini. Kami akan menghantar surat rayuan kepada mereka bagi membolehkan lebih ramai pemain kami di bawah Tahap 1 dan 2.

“Ini kerana kami percaya kriteria yang ditetapkan MSN adalah merangkumi untuk semua jenis sukan. Kami percaya setiap sukan perlu dinilai dengan cara berbeza.

“Rundingan akan dijalankan, wakil MSN juga turut menghadiri mesyuarat hari ini. Ironinya, Jin Wei di bawah Tahap 3, ini sesuatu yang sukar untuk kami terima kerana kami percaya Jin Wei akan layak ke Olimpik Tokyo 2020.

“Kami akan mencadangkan nama lima pemain atau lebih lagi untuk berada di bawah Tahap 1.

“Perbezaannya cukup ketara kerana jika anda berada di bawah Tahap 1, anda boleh menyertai 17 kejohanan antarabangsa manakala Tahap 4 anda hanya boleh bermain dalam lima kejohanan.

“Bagaimana mereka mahu layak ke Olimpik jika hanya bermain lima kejohanan antarabangsa,” kata Chin Chai ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, hari ini.

Sementara itu, Chin Chai berkata, disebabkan kekangan kewangan, jurulatih perlu teliti dalam merangka perancangan bagi menghantar pemain menyertai kejohanan antarabangsa.

“Kami sudah maklumkan mengenai perkara ini kepada jurulatih dan mereka faham dengan situasi sekarang. Kami perlu selektif bagi menghantar pemain menyertai kejohanan kerana dana tidak lagi seperti sebelum ini,” katanya.

1135 dibaca
Berita Harian X