Ahad, 3 Februari 2019 | 11:04pm
Lee Zii Jia kini memegang status sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu Malaysia. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Amaran Chong Wei buat Zii Jia

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei bangga dengan kejayaan Lee Zii Jia yang kini memegang status sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu Malaysia.

Bagaimanapun, dia mengingatkan pemain muda berusia 21 tahun itu supaya tidak terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

Pemenang tiga pingat perak Olimpikitu menegaskan, dia akan segera menghantui Zii Jia sebaik kembali beraksi dalam saingan kompetitif bagi merampas kembali status pemain nombor satu negara yang dipegangnya sejak sekian lama sebelum ini.

“Ia pencapaian yang positif untuk Zii Jia apabila menjadi pemain nombor satu Malaysia. Namun, saya ingatkan yang dia perlu terus bekerja keras kerana dia akan berdepan cabaran yang lebih sukar selepas ini, tekanan akan sentiasa ada dan itu biasa,” kata Chong Wei.

“Jangan cepat berpuas hati. Kalau boleh saya mahu lihat dia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pula selepas ini. 

“Apa yang dicapainya sekarang membuatkan saya bertambah semangat. Ia memberikan motivasi untuk saya yang mana saya perlu bersaing bagi mendapat kembali status pemain nombor satu negara.

“Namun, saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Apabila saya kembali menyertai kejohanan nanti, yang paling penting saya mahu menikmati kerjaya saya sebagai pemain badminton. 

“Saya sudah merasai semuanya termasuk menjadi pemain nombor satu dunia selama tujuh tahun.”

Zii Jia kini memegang status sebagai pemain nombor satu negara berdasarkan kedudukan ranking dunia terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Selasa lalu yang menyaksikan dia menghuni tangga ke-28.

Peningkatan itu susulan prestasi cemerlang ditampilkan Zii Jia yang juga juara Terbuka Taiwan 2018 apabila dia berjaya mara sehingga suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut - Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Liew Daren kedua terbaik negara apabila menghuni ranking ke-29 dunia diikuti Chong Wei ketiga (31).

Bagaimanapun, ranking Chong Wei jatuh selepas terpaksa berehat panjang susulan menghidapi kanser hidung dan kini baru kembali menjalani latihan di gelanggang selepas disahkan sudah bebas daripada penyakit itu.

Dalam pada itu, sempena sambutan Tahun Baru Cina, Selasa ini, Chong Wei yang berusia 37 tahun berharap tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu terutama selepas dia disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

“Tahun lalu bukan tahun yang baik untuk saya, jadi saya harap tahun ini lebih baik. Saya harap diberi kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan mencapai banyak kejayaan pada tahun ini,” kata Chong Wei yang turut memaklumkan dia menyambut Tahun Baru Cina kali ini di Pulau Pinang bersama keluarganya.

Berita Harian X