Jumaat, 8 Februari 2019 | 10:03pm
JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Eizairi Shamsudin

Chong Wei buat kemunculan semula di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei hampir pasti membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia, April depan selepas berehat panjang susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata mengikut perancangan awal, nama pemain berusia 37 tahun itu akan didaftarkan bagi beraksi dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 berkenaan.

"Mengikut perancangan awal memang kami akan mendaftarkan nama Chong Wei untuk aksi Terbuka Malaysia sebelum tarikh tutup pendaftaran pada 19 Februari ini.

"Lagipun, Chong Wei sendiri yang menyuarakan hasrat untuk bermula semula pada Terbuka Malaysia.

"Namun, ia juga bergantung kepada kesihatannya dan pemeriksaan terakhir daripada doktor yang merawatnya. Dia memerlukan lampu hijau daripada doktor sebelum kembali beraksi," kata Choong Hann ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Berita itu seharusnya menjadi perkhabaran gembira buat peminat badminton tempatan yang merindui kelibat Chong Wei selepas kali terakhir pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

Ketika itu, dia terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada bintang sensasi Jepun, Kento Momota.

Seminggu sebelum itu, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali berkenaan cemerlang apabila merekodkan gelaran ke-12 Terbuka Malaysia dengan menjadikan Momota sebagai 'mangsanya' ketika aksi di pentas final.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu terpaksa melupakan arena badminton seketika selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal yang menyaksikan dia perlu menjalani rawatan selama empat bulan dan kini disahkan bebas daripada penyakit itu.

Dia sudah kembali menjalani latihan sejak awal bulan lalu dengan fokus bagi membentuk semula kekuatan fizikalnya dan menunjukkan perkembangan yang positif.

"Chong Wei akan mula menjalani latihan penuh Isnin ini. Dia sendiri beritahu yang dia akan cuba untuk melakukan latihan penuh dengan intensiti yang lebih tinggi namun tidak boleh memaksa dirinya.

"Kalau dia memerlukan rehat, dia akan berehat," kata Choong Hann.

Saingan Terbuka Malaysia akan bermula dari 2 hingga 7 April dan akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Berita Harian X