Khamis, 14 Februari 2019 | 3:53pm
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai. - Foto BERNAMA

BAM hantar skuad kedua ke Hong Kong

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menyenaraikan skuad kedua bagi membawa cabaran negara pada saingan Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Hong Kong bermula 19 hingga 24 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, keputusan itu dibuat selepas menyifatkan kejohanan yang mengikut format Piala Sudirman itu sebagai medan terbaik untuk memberi pendedahan kepada pemain muda.

"Semua pemain yang disenaraikan untuk kejohanan ini berusia di bawah 23 tahun. Kami mahu beri pendedahan kepada mereka kerana kami percaya mereka adalah pemain masa depan negara," kata Chin Chai ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki akan digalas Soong Joo Ven dan Cheam June Wei manakala Lee Ying Ying dan Ho Yen Mei menggalas tugas perseorangan wanita.

Dua beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut berada dalam senarai ke Hong Kong selain beregu wanita, Pearly Tan-Yap Ling dan Anna Cheong-Lim Chiew Sien.

Saingan beregu campuran menyaksikan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei disenaraikan.

Dalam pada itu, Chin Chai mengesahkan empat pemain yang meletak jawatan daripada skuad kebangsaan akan meninggalkan badan induk itu hujung bulan ini.

Mereka ialah Tan Wee Gieen, Shia Chun Kang, Toh Ee Wei dan Eng Sin Jou.

Berita Harian X