Isnin, 18 Februari 2019 | 8:29pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Misbun ubah perancangan buat Zii Jia

 

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek mengakui terpaksa mengubah perancangan bagi membolehkan anak didiknya, Lee Zii Jia menjadi pertaruhan skuad badminton negara pada Olimpik Tokyo 2020.

Misbun mendedahkan, mengikut perancangan awal, beliau meletakkan sasaran membentuk pemain berusia 21 tahun itu menjadi pencabar pingat pada Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan prestasi semasa Zii Jia selain ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang masih dalam proses pemulihan susulan kanser hidung dihidapinya, beliau perlu tampil dengan perancangan baharu bagi membolehkan pemain itu menjadi sandaran pada saingan di Tokyo.

"Sebenarnya, perancangan saya untuk Zii Jia adalah Olimpik 2024. Namun, disebabkan situasi sekarang selain peningkatan prestasinya dan Chong Wei yang masih belum boleh beraksi, saya fikir tidak salah untuk saya mengubah sedikit perancangan.

"Setahun yang lalu, saya lihat bakat yang dimilikinya berbeza berbanding pemain lain. Saya cuba suntik dan bina dia melalui saya dan jurulatih yang lain.

"Ini bagi membolehkan dia benar-benar faham yang badminton bukan sekadar kemahiran dan teknikal. Perlu strategi dan taktikal yang betul, jadi saya harap tempoh beberapa bulan terutama pusingan kelayakan Olimpik berlangsung nanti, dia boleh capai apa yang diharapkan," kata Misbun.

Selain Zii Jia dan Chong Wei, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren turut mengintai peluang layak ke Tokyo.

Zii Jia menunjukkan peningkatan prestasi  yang positif dalam tempoh empat bulan terakhir ini apabila dia berjaya menjuarai Terbuka Taiwan pada Oktober tahun lalu selain naib juara Masters Korea, Disember lalu.

Dia juga berjaya mara sehingga suku akhir tiga kali berturut-turut dalam tiga kejohanan awal tahun ini iaitu pada Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia sekali gus kini memegang status sebagai pemain nombor satu negara.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu akan beraksi pada Kejohanan Kebangsaan di Ipoh, Perak yang bermula hari ini sebagai aksi pemanas badan sebelum beraksi pada Terbuka Jerman, awal bulan depan.

Berita Harian X