Rabu, 20 Februari 2019 | 5:20pm
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Doktor Taiwan tentu nasib Chong Wei

KUALA LUMPUR: Peminat badminton tempatan tidak boleh terlalu berharap Datuk Lee Chong Wei akan membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia, April depan.

Walaupun namanya sah didaftarkan untuk menyertai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750 itu, namun dia masih perlu mendapat lampu hijau daripada doktor pakar yang merawatnya di Taiwan susulan kanser hidung dihidapinya sebelum ini bagi membolehkan dia beraksi.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, berkata sebarang keputusan atau perancangan hanya akan ditentukan sebaik Chong Wei selesai menjalani pemeriksaan kesihatannya di Taiwan, bulan depan.

“Buat masa sekarang program latihan Chong Wei seperti biasa. Namun, seperti yang Chong Wei katakan sebelum ini, apa pun kita perlu tunggu hasil pemeriksaannya di Taiwan bulan depan.

“Selepas itu nanti baru kita lihat apa perancangan seterusnya sama ada dia boleh beraksi atau sebaliknya,” kata Hendrawan yang enggan mengulas panjang ketika dihubungi BH Sukan.

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan nama juara Terbuka Malaysia 12 kali itu didaftarkan untuk menyertai kejohanan berkenaan yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 2 hingga 7 April.

“Ya, nama Chong Wei didaftarkan untuk Terbuka Malaysia kali ini sebelum tarikh tutup pendaftaran semalam. Begitu juga wakil negara yang lain,” kata Pengurus Besar BAM, Michelle Chai.

Kali terakhir pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu beraksi dalam kejohanan antarabangsa adalah pada  Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu yang mana dia terkandas di peringkat separuh akhir.

Selain Chong Wei, dua lagi pemain perseorangan di bawah naungan BAM turut didaftarkan untuk beraksi pada Terbuka Malaysia kali ini iaitu juara Terbuka Taiwan 2018, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven.

 

 

Berita Harian X