Ahad, 24 Februari 2019 | 7:46pm
Nicol mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 selepas menewaskan pemain Mesir, Menna Nasser. - Arkib NSTP
Nicol mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 selepas menewaskan pemain Mesir, Menna Nasser. - Arkib NSTP

Nicol mara pusingan kedua kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 selepas menewaskan pemain Mesir, Menna Nasser dalam saingan di Chicago, Amerika Syarikat.

Pemain berusia 35 tahun dari Pulau Pinang itu yang juga juara dunia lapan kali mengambil masa 21 minit menundukkan Menna, 11-3, 11-6 dan 11-3, menurut laman sesawang kejohanan itu https://psaworldchampionships.com.

Nicol yang juga pemain pilihan ke-13 kejohanan akan berhadapan pemain pilihan ke-24, Millie Tomlinson dari England pada perlawanan pusingan kedua esok.

Cabaran sebenar Nicol sekiranya mara ke pusingan seterusnya ialah pemain pilihan kelima, Camille Serme dari Perancis.

Nicol mula bertanding dalam kejohanan dunia pada 2001 dan memenangi lapan gelaran -- kejuaraan yang paling banyak dimenangi oleh seorang wanita. Beliau memenanginya dalam tahun 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Baru-baru ini Nicol mengumumkan akan bersara secara rasmi pada penghujung musim 2018/2019 Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Jun tahun ini setelah berkecimpung selama 20 tahun dalam sukan ini.

Sementara itu, cabaran pemain Malaysia yang lain dalam kejohanan itu, Low Wee Wern, Rachel Arnold dan tiga pemain lelaki – Ivan Yuen, Nafiizwan Adnan dan Ng Eain Yow berakhir seawal pusingan pertama. - BERNAMA

Berita Harian X