Jumaat, 15 March 2019 | 6:30pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Ranking Chong Wei jatuh ke-45 dunia

KUALA LUMPUR: Ranking dunia jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei jatuh secara drastik selepas tujuh bulan tidak menyertai sebarang kejohanan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang terpaksa berehat panjang selepas disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu kini berada di kedudukan ke-45 dunia.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menegaskan ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan biarpun pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan bermula Mei ini.

Katanya, dengan perlindungan ranking yang diberikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum ini, pemain berusia 37 tahun itu boleh menyertai mana-mana kejohanan utama yang diinginkan untuk tempoh enam bulan selepas membuat kemunculan semula.

"Dalam tempoh enam bulan itu, saya fikir dia boleh menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan. Jadi, tidak kisah berapa sekalipun kedudukan rankingnya, dia boleh menyertai kejohanan yang diinginkan dalam tempoh enam bulan itu.

"Jika dia dapat menghasilkan keputusan yang positif, sudah pasti kedudukan rankingnya akan naik.

"Dengan kemampuan yang dimilikinya, saya percaya ia bukan masalah yang besar untuk dirinya. Hanya masa akan menentukan untuk dia kembali dalam kelompok teratas dunia," kata Choong Hann.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali pernah mengalami situasi yang sama sebelum ini ketika dia digantung lapan bulan akibat kesalahan doping.

Dia membuktikan ia bukan masalah besar apabila kembali menjadi pemain nombor dua dunia dalam tempoh lapan bulan biarpun rankingnya jatuh di kedudukan ke-182.

"Setiap situasi pastinya berbeza tetapi kami percaya dengan kemampuan dirinya," tambah Choong Hann.

Nama Chong Wei didaftarkan untuk membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia, bulan depan tetapi sama ada dia boleh beraksi atau tidak bergantung keputusan pemeriksaan tahap kesihatannya bersama doktor pakar yang merawatnya di Taiwan.

Dia bakal berlepas ke Taiwan pada Ahad ini dan menjalani pemeriksaan keesokannya harinya.

Berita Harian X