Sabtu, 16 March 2019 | 6:37pm
Zii Jia masih dalam proses pembelajaran bagi bergelar jaguh dunia. - Arkib NSTP

Zii Jia masih belajar

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia masih dalam proses pembelajaran bagi bergelar jaguh dunia.

Sebab itu, peminat tidak boleh meletakkan harapan tinggi untuk pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu secara 'automatik' menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei.

Kekalahannya di pusingan pertama Terbuka Switzerland, Rabu lalu cukup bagi membuktikan yang dia masih bergelut untuk mengekalkan konsistensinya.

Zii Jia terpaksa akur apabila buat kali ketiga tewas di tangan pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata kekalahan itu seharusnya memberi pengajaran dan pengalaman buat Zii Jia bagi mengatasi setiap cabaran yang bakal dihadapinya untuk menjadi pemain utama dunia.

"Dia perlu belajar daripada kekalahan di tangan lawan yang lebih baik. Pelbagai cabaran yang bakal di tempuhinya selepas ini dan dia perlu membuktikan kemampuan sebenarnya," katanya.

Bagaimanapun, Choong Hann tetap memuji pemain berusia 21 tahun itu yang menunjukkan peningkatan positif dalam kejohanan disertai awal tahun ini.

"Apa pun, kita tidak boleh merendahkan kemampuan Zii Jia kerana dia menunjukkan peningkatan yang positif. Dia berjaya mara ke suku akhir dalam empat kejohanan (Masters Thailand, Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jerman) tahun ini.

Pada Oktober tahun lalu, pemain ranking ke-20 dunia itu berjaya menjadi juara Terbuka Taiwan sebelum muncul naib juara Masters Korea pada Disember.

Berita Harian X