Isnin, 18 March 2019 | 8:35pm
JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Debaran Chong Wei bertemu doktor

 

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dibenarkan beraksi atau tidak pada saingan Terbuka Malaysia, bulan depan  hanya akan diketahui esok selepas dia bertemu doktor pakar yang merawatnya pada jam 11 pagi.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika ini berada di Taiwan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan bagi membolehkan dia membuat kemunculan semula dalam kejohanan antarabangsa bermula pada Terbuka Malaysia.

Chong Wei, 37, terpaksa berehat panjang selama lapan bulan selepas disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata Chong Wei pada hari ini hanya melakukan pemeriksaan saringan awal dan akan bertemu doktor pakarnya esok.

“Saya baru bercakap dengan Chong Wei sebentar tadi dan dia memberitahu yang hari ini dia hanya lakukan pemeriksaan biasa termasuklah membuat ujian darah dan sebagainya. Esok barulah dia bertemu dengan doktor pada jam 11 pagi.

“Jadi, keputusan (boleh atau tidak dia beraksi) hanya akan diketahui selepas itu. Untuk hari ini saya boleh sahkan tiada sebarang keputusan lagi,” kata Norza kepada BH Sukan.

Kejohanan kompetitif terakhir disertai Chong Wei adalah pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu yang menyaksikan dia terkandas di separuh akhir.

Saingan Terbuka Malaysia akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 2 hingga 7 April.

Chong Wei yang juga juara bertahan diundi bertemu pilihan kelapan dari India, K Srikanth untuk aksi pusingan pertama. Dia sudah 12 kali muncul juara Terbuka Malaysia.

Berita Harian X