Isnin, 1 April 2019 | 11:22pm
Pemain Perseorangan Jepun, Kento Momota ketika sesi latihan menguji gelanggang sempena Kejohanan bBdminton Terbuka Malaysia di Stadium Axiata, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Momota galas 'tugas' Chong Wei

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi Jepun, Kento Momota percaya dia mampu menampung ketiadaan Datuk Lee Chong Wei bagi menarik kehadiran peminat badminton tempatan untuk ke stadium menyaksikan saingan Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.

Selepas sekadar muncul naib juara pada edisi tahun lalu selepas tewas di tangan Chong Wei dalam aksi final, Momota optimis dia mampu muncul juara pada saingan kali ini.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Jerman dan Seluruh England, baru-baru ini, pemain berusia 25 tahun itu mengakui tahap keyakinannya semakin tinggi bagi memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia.

"Saya tahu ramai peminat di sini kecewa selepas Chong Wei menarik diri, malah saya turut merasakan perkara sama. Namun, saya berjanji akan menunjukkan prestasi terbaik untuk peminat di sini.

"Tahap keyakinan saya semakin tinggi selepas menjuarai Terbuka Jerman dan Seluruh England. Saya juga berada pada tahap terbaik dari aspek mental dan fizikal, jadi saya sudah bersedia untuk memulakan saingan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, hari ini.

Chong Wei tidak dapat mempertahankan kejuaraannya pada edisi kali ini selepas terpaksa menarik diri kerana masih belum cergas sepenuhnya susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Momota akan membuka tirai saingan menentang pemain Denmark, Jan O Jorgensen di pusingan pertama dan berkemungkinan berdepan pilihan keenam yang juga rakan senegara Jogensen, Viktor Axelsen di suku akhir.

 

 

Berita Harian X