Rabu, 3 April 2019 | 8:37pm
PEMAIN perseorangan China, Lin Dan. - Foto Eizairi Shamsudin.

'Saya tunggu Chong Wei bersara dulu'

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi China, Lin Dan memberi bayangan dia hanya akan bersara jika seterunya Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan yang sama.

Juara Olimpik dua kali berusia 36 tahun itu, berkata dia masih beraksi di peringkat tertinggi ketika ini disebabkan mahu mencabar diri sendiri selain memberi contoh yang baik kepada pemain muda.

"Saya ingin mencabar diri sendiri untuk mengetahui sampai mana tahap yang saya boleh capai. Saya juga ingin menunjukkan contoh yang baik kepada pemain muda agar mereka boleh melakukan perkara sama.

"Lagipun, Chong Wei masih belum mahu bersara, jadi saya fikir perlu terus beraksi," kata Lin Dan yang memenangi pingat emas Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Terdahulu, juara  dunia lima kali itu membuktikan dia masih antara pemain yang perlu diberi perhatian apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen 13-21, 21-19, 21-19 dalam aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil.

Mengulas lanjut, Lin Dan bagaimanapun memberitahu dia akan 'menggantung raket' sekiranya dia mengalami kecederaan atau masalah kesihatan.

"Jika saya mengalami kecederaan atau masalah kesihatan, saya tidak akan teragak-agak untuk bersara. Namun, ketika ini tidak mengalami sebarang masalah, jadi saya akan terus bermain.

"Saya tahu bukan mudah untuk kekal beraksi ditambah persaingan yang semakin sengit dalam acara perseorangan lelaki. Namun, saya akan buat yang terbaik untuk cuba layak ke Olimpik Tokyo 2020," kata Lin Dan.

Pendekatan Lin Dan yang tidak teragak-agak untuk bersara sekiranya mengalami kecederaan atau masalah kesihatan jelas berbeza dengan Chong Wei yang ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas bebas daripada kanser hidung yang dihidapinya, Julai tahun lalu.

Chong Wei beberapa kali menegaskan yang dia masih akan terus beraksi dengan fokus utama untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020.

"Saya belum berkesempatan untuk bertemu Chong Wei di sini. Namun, kami berkongsi matlamat sama untuk layak ke Tokyo dan kami akan berjuang untuk mencapainya," kata Lin Dan yang dilabel musuh utama Chong Wei di pentas antarabangsa.

 

 

Berita Harian X