Isnin, 8 April 2019 | 11:20am
Garbine Muguruza dari Sepanyol menjulang trofi kemenangan apabila menjuarai WTA Terbuka Monterrey, semalam. - Foto EPA

Muguruza julang WTA Monterrey

MONTERREY, Mexico: Bintang tenis Sepanyol, Garbine Muguruza mempertahankan kejuaraan WTA Terbuka Monterrey, semalam selepas lawannya di final, Victoria Azarenka menarik diri susulan kecederaan.

Diletakkan pilihan kedua kejohanan, Muguruza mendahului pertembungan membabitkan dua bekas pemain nombor satu dunia itu 6-1 3-1 sebelum Azarenka memutuskan untuk menarik diri akibat kecederaan di kaki kanannya.

Kemenangan Muguruza menyaksikan pemenang Jelajah WTA musim ini sentiasa bertukar nama dalam 16 kejohanan.

Bekas pemenang Terbuka Perancis dan Wimbledon itu mematahkan servis pemain Belarus itu tiga kali pada set pertama dan pada perlawanan keempat set kedua.

“Perasaan yang hebat untuk kembali dan mempertahankan gelaran,” kata Muguruza. “Ia tidak pernah mudah.”

Azarenka menerima rawatan di bahagian kakinya ketika rehat di antara set tetapi kesakitannya tidak lagi mampu ditampung selepas Muguruza mematahkan servisnya pada set kedua sekali gus memutuskan untuk menghentikan perlawanan.

“Saya tidak bernasib baik kerana tidak mampu memberikan prestasi terbaik saya hari ini, tetapi saya sudah berusaha sekuat yang mungkin,” kata Azarenka yang sudah tiga tahun tidak memenangi sebarang gelaran.

“Saya mahu berterima kasih kepada anak lelaki saya, Leo yang tidak bersama saya hari ini. Saya pasti gembira jika dia berada di sini untuk berkongsi perkara ini bersama saya kerana ia istimewa.” - AFP

 

 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X