Jumaat, 12 April 2019 | 7:23pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing mara ke separuh akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan beregu Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 22-20, 14-21, 21-18. - Foto Aswadi Alias.

Kian Meng-Pei Jing cemerlang, V Shem-Wee Kiong kecundang

KUALA LUMPUR: Kebangkitan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing nyata bukan sekadar memberi ‘harapan palsu’.

Gandingan ke-26 dunia itu terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan beregu Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 22-20, 14-21, 21-18 dalam aksi suku akhir, hari ini.

Ia adalah pentas separuh akhir kedua-dua berturut-turut buat Kian Meng-Pei Jing selepas turut melakar pencapaian sama ketika Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Seperti Terbuka Malaysia, skrip sama juga dihidangkan pada saingan Terbuka Singapura selepas mereka menjadi wakil tunggal negara yang layak ke kelompok empat terbaik.

Mereka akan berdepan beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja yang mara selepas menewaskan gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-18, 12-21, 16-21.

Sementara itu, cabaran beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir selepas tewas kepada bekas juara dunia yang juga pilihan keempat dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-18, 16-21, 17-21.

836 dibaca
Berita Harian X